Berita Gerakan

Mahkamah tetap 16 Jan mohon celah saman keabsahan sekolah vernakular

Jan 2, 2020

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 16 Jan ini untuk mana-mana pihak memohon mencelah saman terhadap Kementerian Pendidikan bagi mencabar keabsahan sekolah vernakular bawah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Peguam, Shaharudin Ali, yang mewakili penyaman, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, memaklumkan perkara itu selepas pengurusan kes di kamar penolong kanan pendaftar Mahkamah Tinggi hari ini.

“Mahkamah beri masa kepada sesiapa yang mahu memfailkan permohonan untuk mencelah,” katanya kepada pemberita.

“Mahkamah juga maklum siapa yang nak bantah pihak kepada yang mencelah boleh melakukanya pada 29 Jan ini.”

Sementara itu, Shaharudin berkata anak guamnya juga akan memfailkan afidavit tambahan pada tarikh itu.

Mahkamah Tinggi menetap 12 Feb depan sebagai pendengaran semua pemohonan tersebut.

Pada 17 Dis lalu, Khairul memohon pengisytiharan bahawa Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan, yang membenarkan penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah Cina dan Tamil, tidak konsisten dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Khairul menamakan dirinya sebagai plaintif tunggal manakala menteri pendidikan dan kerajaan Malaysia pula dinamakan sebagai defendan.

Pemohonan itu dibuat selepas Mahkamah Persekutuan pada 11 Nov menolak kebenaran kepada Khairul untuk mencabar kewujudan sekolah-sekolah vernakular, yang menurutnya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Hakim Besar Malaya, Azahar Mohamed dalam penghakimannya memutuskan Parlimen mempunyai bidang kuasa untuk mengubal undang-undang mengenai pendidikan.

Beliau juga memutuskan Mahkamah Persekutuan bukanlah platform untuk pemohon mencabar kewujudan sekolah-sekolah vernakular.

Sebaliknya, Mahkamah Tinggi boleh mendengar isu perlembagaan berkaitan sekolah vernakular.

Perkara 152 memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, namun tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan sekalipun dengan menggunakan dana awam.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gerakan, Mak Kah Keong, yang turut berada di mahkamah hari ini menjelaskan pihaknya akan memohon sebagai pencelah bagi kes tersebut dalam minggu ini.

“Hari ini saya diarahkan presiden untuk hadir dan lihat susulan kes ini dan kita akan mohon sebagai pencelah.

“Pendirian Gerakan jelas, kita akan berusaha untuk mengekalkan pendidikan Cina (SJKC),” katanya kepada pemberita.

Turut hadir bersama Mak adalah Pengerusi Majlis Bahasa Cina Malaysia, Eddie Heng. Pihaknya juga akan memohon sebagai pencelah dalam minggu ini.

“Pendidikan Cina ada dalam sejarah sudah lebih 200 tahun dan dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

“Kami lihat tiada asas untuk plaintif saman Kementerian Pendidikan berkenaan Akta Pendidikan,” katanya.

Khairul memfailkan usul di Mahkamah Persekutuan untuk mencabar kesahihan sekolah vernakular pada 23 Okt lepas.