Berita Gerakan

Nyawa rakyat perlu diutamakan

Apr 13, 2020

KUALA LUMPUR – Kerajaan harus konsisten dalam mengkaji semula sektor-sektor yang dibenarkan untuk beroperasi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga ini.

Ini kerana, senarai sektor-sektor ekonomi yang dibenarkan semula beroperasi telah mendapat reaksi negatif daripada pelbagai pihak yang bimbang potensi penularan wabak Covid-19 semula.

Ketua Biro Perpaduan Nasional Parti Gerakan, H. Puvaniten berkata, negara akan berada dalam PKP fasa ketiga, jadi amatlah penting untuk memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

”Kita tidak mahu sebarang kekeliruan berlaku dalam kalangan rakyat berikutan pengumuman ini. Ada sektor-sektor yang boleh menyumbang kepada kontak rapat, sekali gus menjurus kepada peningkatan kes.

Puvaniten berkata, kerajaan harus memutuskan penularan wabak ini secara muktamad supaya tidak ada jangkitan baru yang berulang jika sektor-sektor ekonomi yang lain dibuka.

Ia mungkin boleh ditangguh lagi kerana keselamatan dan nyawa adalah lebih penting di dalam krisis kronik ini.

Apatah lagi, pematuhan penjarakan sosial juga menjadi cabaran utama.

Puvaniten menambah, sebarang pengumuman pembukaan sektor-sektor ini perlu mempunyai koordinasi dan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan terlebih dahulu, sama ada pembukaan sesuatu sektor boleh menambah jangkitan Covid 19 atau tidak.

Katanya, Ketua Pengarah Datuk Dr Noor Hisham telah pun menasihatkan semua industri menangguhkan terlebih dahulu operasi termasuk kedai gunting rambut dalam tempoh seminggu ini sehingga data-data menunjukkan pemulihan.

Artikel berkaitan: Dr Noor Hisham nasihat kerajaan henti dulu aktiviti ekonomi termasuk gunting rambut

Menurut Puvaniten, kerajaan perlu memikirkan semula keputusan mereka mengenai perkara ini dan satu kata putus harus diambil segera berhubung pembukaan sembilan sektor ini agar setengah-setengah pihak tidak mengambil kesempatan berhubung keadaan semasa.

Tambahnya, walaupun penutupan berlarutan sektor-sektor tertentu menjejaskan ekonomi namun pada masa kini keselamatan nyawa perlu diutamakan.

”Kalau kita boleh mengurangkan kuantiti jangkitan dan kalau semua bekerjasama untuk mematuhi kepada arahan Perintah Kawalan Pergerakan, mungkin kita boleh kurangkan lanjutan dalam Covid-19 ini.

”Dan apabila Covid-19 dapat dibendung dalam komuniti, barulah kita boleh memikirkan untuk meneruskan operasi sektor-sektor ekonomi tersebut,” ujarnya.