Berita Gerakan

Paip utiliti haram antara punca banjir kilat di Lebuh Ampang

Sep 21, 2020

KUALA LUMPUR: Paip utiliti yang dipasang di dalam longkang saliran tanpa kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah antara punca banjir kilat di Lebuh Ampang baru-baru ini.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata pihaknya telah mengenal pasti masalah itu dan mendapati longkang yang diselenggara oleh DBKL mempunyai paip utiliti lain yang dipasang tanpa kebenaran.

Pemilik utiliti yang memasang paip di sekitar kawasan itu telah mengurangkan kapasiti pengaliran air kira-kira 30 hingga 40 peratus dan apabila hujan lebat, ia secara tidak langsung menyebabkan banjir kilat, katanya kepada pemberita selepas merasmikan forum Sambutan 50 Tahun Rukun Negara: Kepercayaan kepada Tuhan Memupuk Perpaduan Rakyat Sejahtera di Menara PGRM di sini pada Ahad.

Beliau berkata DBKL akan mengambil langkah proaktif untuk menyelesaikan perkara itu secepat mungkin dan pihaknya juga telah meminta maklumat daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan tapak pembinaan bagi memastikan tiada pembinaan dilakukan tanpa mendapat kelulusan DBKL.

Terdahulu berucap merasmikan forum itu, Santhara berkata kelima-lima prinsip Rukun Negara dapat melahirkan masyarakat berjiwa patriotik dan cintakan tanah air serta saling melengkapi antara satu sama lain.

“Sekiranya kita menghayati Rukun Negara, kita boleh terus bersatu padu. Pepatah Melayu ada sebut, bersatu teguh bercerai roboh, amalan bersatu padu dapat mengeratkan masyarakat dan membina negara yang gemilang dan terbilang,” katanya.

Forum anjuran SEDAR Institute itu menampilkan Penasihatnya Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai sebagai moderator dan lima panel jemputan.

Lima panel itu ialah Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin; Pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia Archbishop Julian Leow Beng Kim; Penolong Setiausaha Agung Kebangsaan Persatuan Malaysia Hindu Sangam Gowri PS Thangaya; Presiden Persekutuan Pertubuhan Agama TAO Malaysia Daozhang Tan Hoe Chieow; dan Ketua Jabatan Kebajikan dan Amal Persatuan Buddhist Malaysia Venerable Sing Kan.

 

黄佳祯拨齐灵坛斗母宫3000

黄佳祯拨齐灵坛斗母宫3000

(双溪大年7日讯)由双溪大年齐灵坛斗母宫九皇大帝承办的“2024年第九届吉中九皇大帝巡境大游行”,15支来自各九皇大帝斗母宫及商家队伍参与,华丽的花车及庞大游行队吸引数以干计民众驻足围观,炮竹烟花伴随舞龙表演,庄严热闹。

baca lagi