Slide SERTAI KAMI SUMBANGAN SERTAI KAMI SUMBANGAN

Berita Gerakan

Pantau pemindahan mangsa banjir untuk elak penyakit berjangkit

Jun 23, 2020

KUALA LUMPUR – Proses pemindahan dan bantuan terhadap mangsa yang terjejas akibat banjir perlu dipantau dan dikawal sebaiknya bagi mengelak sebarang penularan penyakit berjangkit.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, keadaan akan menjadi lebih buruk jika amalan penjagaan dan pencegahan penyakit tidak dipantau lebih-lebih lagi ketika negara masih lagi berdepan dengan wabak Covid-19.

“Memandangkan beberapa daerah di Johor dilanda banjir, kerajaan persekutuan perlu tingkatkan kawalan kesihatan di beberapa kawasan seperti Muar, Batu Pahat dan Pontian.

“Biarpun semua negeri terbabit disarankan mengambil langkah berhati-hati dalam operasi pemindahan dan menyelamat mangsa banjir, amalan yang diperuntukkan dalam SOP tetap perlu diperkasakan dari masa ke semasa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dominic berkata, ia demi membendung penularan penyakit berjangkit lain dalam masa yang sama di pusat penempatan mangsa banjir dan sebagainya.

Di samping itu beliau berkata, semua petugas keselamatan perlu mengamalkan penjarakan sosial dalam aktiviti menyelamat.

Malah, mangsa banjir disyorkan untuk menjalani saringan Swab Test Covid-19 termasuk petugas berkaitan bagi memantau jika terdapat jangkitan sporadik.

“Manakala untuk petugas barisan hadapan yang terlibat dalam operasi terbabit, mereka diingatkan untuk kekal amalkan penjagaan kesihatan seperti pemakaian topeng muka, penggunaan sanitizer dan penjarakan sosial.

“Ini demi mengelakkan berlakunya pertambahan kluster dalam tempoh PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) secara tidak sengaja,” katanya.