Berita Gerakan

Parlimen bersifat peka gender

Mac 8, 2021

KUALA LUMPUR: Semua 33 Ahli Parlimen wanita di negara ini, komited menjadikan institusi Parlimen yang bersifat peka gender, seperti termaktub dalam garis panduan Kesatuan Antara Parlimen (IPU).

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata dalam menuju usaha itu, Ahli Parlimen wanita memberi keutamaan kepada rang undang-undang serta dasar yang mengarah kepada kesaksamaan gender.

Beliau berkata, komitmen dari semua Ahli Parlimen juga diperlukan untuk menyatakan sokongan mereka, sebelum suara itu diangkat ke IPU dan Persatuan Parlimen Komanwel (CPA), pada hujung bulan ini.

“Selain itu, dalam mencapai hasrat menjadi Parlimen yang peka gender, perbahasan dalam Dewan yang mencerminkan kepekaan isu gender dan menilai kemungkinan reformasi sistem pilihan raya, demi memastikan perwakilan lebih seimbang dalam Parlimen.

“Begitu juga melalui peruntukan kewangan yang responsif kepada keperluan gender di agensi serta kementerian, berusaha mewujudkan kesaksamaan gender dalam program Jawatankuasa Pilihan Khas di Parlimen dan memastikan pembangunan prasarana di Parlimen, mengambil kira keperluan gender.

“Sempena Hari Wanita Sedunia ini, kami ingin mengajak Ahli Parlimen lain untuk turut serta dalam ikrar mengangkat martabat Parlimen ke arah institusi yang peka gender,” katanya melalui kenyataan, di sini hari ini.

Pada masa sama, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang, berkata melalui garis panduan IPU, kesaksamaan gender ialah perkara berkepentingan bagi setiap lelaki dan wanita dan itu prasyarat kepada sistem demokrasi tulen.

Beliau berkata, Parlimen lebih berpotensi untuk mencapai kesaksamaan gender dalam masyarakat serta memenuhi mandat demokratik, selaras peranannya sebagai institusi yang sensitif terhadap isu terbabit dan meraikan penyertaan seimbang di antara lelaki dan wanita.

“Parlimen yang sensitif gender akan dapat memenuhi keperluan setiap lelaki dan wanita dari aspek komposisi, struktur, operasi, kaedah serta corak kerjanya.

“Ini dapat membuka ruang untuk penyertaan penuh wanita dan menawarkan suatu contoh atau model yang positif dengan mempromosi kesaksamaan gender serta pengupayaan wanita terhadap masyarakat.

“Wakil masyarakat serta orang ramai juga digalakkan untuk menggesa Ahli Parlimen masing-masing, untuk menurunkan tandatangan dan seterusnya komited dalam menghayati hasrat murni ini,” katanya.

Hari Wanita Sedunia disambut hari ini dengan tema tahun ini yang ditetapkan Wanita Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ialah ‘Memilih untuk Mencabar’.