Berita Gerakan

PN yakin pengundi Pulau Pinang akan beri peluang

Mac 27, 2023

GEORGE TOWN: Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang yakin rakyat akan memberi peluang kepada calon-calon PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) itu bagi memastikan proses semak dan imbang di dalam kerajaan negeri berjalan lancar serta seimbang.

Timbalan Pengerusi PN Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, ini berdasarkan sokongan yang diberikan rakyat kepada PN semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang menyaksikan beberapa kerusi Parlimen milik Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tumpas di tangan calon PN.

”Kita yakin boleh menang dua pertiga daripada kerusi yang dipertandingkan pada PRN di Pulau Pinang berdasarkan maklum balas yang diterima daripada rakyat.

“PN Pulau Pinang dan Gerakan sudah bersedia untuk memasuki gelanggang PRN kali ini dan kita serahkan kepada rakyat untuk menentukan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam yang menyifatkan ramalan PN mampu memenangi 14 kerusi DUN majoriti Melayu pada pilihan raya negeri (PRN) itu seperti mimpi di siang hari.

Sebelum ini, sebuah portal meramalkan PN mungkin menang 14 kerusi DUN majoriti Melayu di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, gabungan itu mungkin tidak dapat merampas kerajaan negeri daripada PH kerana tidak mendapat sokongan bukan Melayu yang membentuk majoriti 62 peratus hingga 98 peratus pengundi di 25 daripada 40 kerusi di Pulau Pinang.

Tong Keong yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang berkata, rakyat sendiri boleh menilai prestasi kerajaan PH yang telah memerintah negeri ini selama tiga penggal, namun tiada sebarang pembaharuan dilaksanakan untuk rakyat.

”Lihat sahaja masalah trafik di Pulau Pinang, kita mendengar rancangan untuk membangunkan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) di negeri ini, namun sehingga kini projek itu masih tidak dilaksanakan.

“Akibat kegagalan kerajaan negeri memenuhi janji, rakyat terpaksa berdepan dengan masalah kesesakan lalu lintas yang teruk setiap hari,” katanya.

Selain itu, tambahnya, kerajaan negeri juga didakwa masih gagal menyediakan rumah kos rendah yang mencukupi untuk penduduk negeri ini.

”Disebabkan itu, sudah sampai masanya rakyat Pulau Pinang beralih arah, sudah tiga penggal PH memerintah, namun banyak janji kepada rakyat tidak dapat ditunaikan.

“Maka, PRN nanti adalah waktu sesuai untuk rakyat membuat pilihan,” katanya. – UTUSAN