Slide SERTAI KAMI SUMBANGAN SERTAI KAMI SUMBANGAN

Berita Gerakan

PRU-15: Gerakan berpandangan positif dengan peratusan pengundi Cina sokong kerajaan

Mac 4, 2021

KUALA LUMPUR, 4 Mac: Parti Gerakan berpandangan positif dengan peratusan pengundi kaum Cina untuk kembali menyokong kerajaan.

Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, sungguhpun trend sokongan pengundi kaum Cina dijangka tidak banyak berubah seperti Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, namun masih terdapat peningkatan dengan kadar pertumbuhannya yang tidak jelas. Ini adalah disebabkan masyarakat Cina menyedari taktik Pakatan Harapan (PH) yang pandai memanipulasi isu dan membangkitkan sentimen.

“Kadar peningkatan peratusannya (pengundi Cina) untuk kembali menyokong kerajaan adalah sikit walaupun mereka sedar tentang taktik DAP. Tambahan lagi, memberi khidmat kepada rakyat bukan lagi kunci utama untuk meraih undi. Jadi, sukar untuk kita mengetahui dan membuat ramalan atau jangkaan tentang sokongan masyarakat Cina kerana PH pandai memanipulasi isu dan membangkitkan sentimen masyarakat Cina terutamanya minggu terakhir dalam tempoh kempen pilihan raya,” katanya kepada Wacana.my.

Menurut beliau, taktik yang sering atau sekian lama digunakan DAP untuk meraih undi adalah memainkan sentimen masyarakat Cina terhadap pihak kerajaan.

Ditanya sama ada DAP akan terus menggunakan taktik sama dalam kempen PRU-15, Oh berkata: “Ya, sebab inilah taktik yang sering digunakan mereka. Pada PRU yang lepas, selain daripada isu 1MDB dan rasuah, PH juga memberi janji-janji manis dan berjaya meraih sokongan pengundi Cina dan Melayu. Antara janji-janji manis itu adalah seperti, membatalkan pembayaran tol lebuhraya, tidak perlu kembalikan wang PTPTN dan isu Tabung Haji.”

Ketika ini, Gerakan hanya mempunyai satu kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Menurut Oh, kekalahan 17 calon Gerakan bertanding di 13 kerusi DUN dan empat kerusi Parlimen pada PRU ke-14 mungkin disebabkan isu nasional contohnya, isu 1MDB dan isu rasuah.

Mengenai sokongan Gerakan kepada kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menerajui Pakatan Nasional (PN), beliau berkata tindakan itu dilakukan demi kestabilan politik terutamanya ketika negara dilanda pandemik COVID-19.

“Kita tidak ingin melihat rakyat hidup menderita dan makin terhimpit akibat penularan COVID-19 yang tidak dapat dikawal susulan daripada pergolakkan politik kerajaan Pakatan Harapan pada masa itu. Keadaan ini telah memberi impak kepada pembangunan ekonomi negara kita.

“Selain itu, dasar kerajaan PN di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin yang mengutamakan kepentingan rakyat. Kedua-dua perkara yang dinyatakan itu juga merupakan antara ideologi parti Gerakan sejak ia ditubuhkan,” katanya.

Oh berkata, Muhyiddin yang sanggup mengambil tanggungjawab, bersama dengan kerajaan di bawah pimpinan beliau membawa negara daripada terus diancam COVID-19 dengan mengambil pelbagai langkah membanteras wabak itu daripada terus menular.

“Beliau yang memberi fokus dalam usaha memerangi COVID-19 demi keselamatan warga negara. Beliau bertabah hati berdepan dengan pelbagai cabaran demi kebajikan rakyat dan masa depan negara yang lebih baik,” katanya.

Oh berpendapat, PN harus mempunyai satu dasar dan hala tuju yang menyeluruh, terutamanya dalam isu mengekang amalan rasuah dan menyediakan pelan revitalisasi ekonomi.

“Sekian lama, masyarakat Cina mahu suatu dasar yang adil dan saksama, terutamanya dari segi ekonomi, pendidikan dan isu rasuah.

“Masyarakat Cina mahu pemimpin negara seorang yang bersih dan berintegriti. Mereka juga mahukan sebuah kerajaan yang bersifat dan berpendirian sederhana,” katanya.

Menurutnya, masyarakat Cina ingin melihat kerajaan menetapkan dasar yang adil dan saksama di mana kedua-duanya merupakan kunci utama bagi Gerakan mendapat kembali kepercayaan dan sokongan pengundi Cina,” katanya.’

Oh berkata, sejak Gerakan ditubuhkan pada 1968, pemimpinnya tidak terpalit dengan isu rasuah, tidak pernah didakwa di mahkamah dan ditahan SPRM atau pihak polis.

“Gerakan parti yang mempromosi budaya politik yang sederhana, bersih dan integriti, serta tidak menyalahgunakan kuasa,” katanya.