Berita Gerakan

PRU15: Gerakan pertimbang tanding semua kerusi di Perak

Jul 12, 2020

IPOH – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Perak sedang mempertimbangkan untuk bertanding di semua kerusi di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk See Tean Seng berkata, calon-calon yang sesuai sedang dikenal pasti selain turut mengalu-alukan mana-mana individu berpotensi menyertai Gerakan untuk dipertimbangkan sebagai calon.

Beliau berkata, pihaknya terbuka menerima sesiapa sahaja menjadi ahli parti asalkan mereka memahami dan bersetuju dengan ideologi Gerakan.

“Kita sedang bersiap sedia untuk menghadapi PRU15 yang dijangka tidak lama lagi. Apa yang pasti, jumlah kerusi untuk kita pertandingkan nanti sudah tentulah melebihi kerusi-kerusi pada PRU yang lepas iaitu tiga kerusi Parlimen (Teluk Intan, Taiping dan Beruas) serta tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (Aulong, Jalong dan Canning).

“Calon-calon yang dipilih bukan calon bidan terjun sebaliknya mesti merupakan anak tempatan. Mereka memang dikenali oleh masyarakat setempat dan telah bekerja untuk rakyat sebelum ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat parti itu di Pejabat Gerakan Perak di sini hari ini.

Menurutnya, Gerakan Perak juga tidak menolak kemungkinan untuk meletakkan calon Melayu di kawasan-kawasan majoriti kaum tersebut pada PRU15 nanti.

“Bagaimanapun Gerakan akan melihat kembali jumlah kerusi itu jika mereka mempunyai rakan bersama untuk bertanding pada PRU15 nanti,” katanya.

Sementara itu, Tean Seng berkata, pihaknya tidak mempunyai maklumat tentang khabar angin penyertaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong ke dalam parti itu.

Katanya, sehingga kini tiada permohonan diterima daripada mana-mana bahagian Gerakan di Perak untuk Paul Yong menyertai parti itu.

“Kita membuka seluas-luasnya keahlian kepada sesiapa sahaja yang bersetuju dengan ideologi parti ini. Kalau Paul Yong nak sertai pun boleh tetapi dia mesti menyelesaikan kes di mahkamah terlebih dahulu sebelum diterima sebagai ahli.

“Tiada tawaran diberikan kepada mana-mana wakil rakyat bebas atau individu untuk menyertai kita asal dia menerima perjuangan parti, kita terima,” katanya.

Ditanya sama ada ADUN Buntong, A Sivasubramaniam akan dipilih semula sebagai calon untuk PRU15 nanti mewakili Gerakan, Tean Seng menjelaskan masih terlalu awal untuk menentukan perkara tersebut.

Bagaimanapun katanya, Sivasubramaniam yang juga bekas ahli DAP itu mempunyai potensi dan berkelayakan untuk menjadi wakil rakyat.

黄佳祯拨齐灵坛斗母宫3000

黄佳祯拨齐灵坛斗母宫3000

(双溪大年7日讯)由双溪大年齐灵坛斗母宫九皇大帝承办的“2024年第九届吉中九皇大帝巡境大游行”,15支来自各九皇大帝斗母宫及商家队伍参与,华丽的花车及庞大游行队吸引数以干计民众驻足围观,炮竹烟花伴随舞龙表演,庄严热闹。

baca lagi