Berita Gerakan

Pulau Pinang perlu ada sungai yang bersih dan selamat digunakan

Apr 6, 2021

GEORGETOWN: Kontroversi mengenai bekalan air Sungai Muda membabitkan Kerajaan Negeri Kedah dan Pulau Pinang tidak akan berlaku sekiranya Pulau Pinang mempunyai air sungai yang bersih dan selamat untuk digunakan rakyat negeri ini.

Pengerusi Parti Gerakan negeri, Oh Tong Keong berkata, sekiranya pimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang ingin menjana sumber air mentah tersendiri mereka harus bertindak dengan wajar, bukan hanya dengan laungan slogan semata-mata.

“Sekiranya Pulau Pinang mempunyai air sungai yang bersih dan selamat digunakan, maka negeri ini tidak perlu lagi bergantung sepenuhnya kepada Sungai Muda.

“Kini dengan status kualiti dan kebersihan Sungai Dua, Sungai Jawi dan Sungai Juru yang berada di tahap tiga dan empat, pihak mana yang perlu kita salahkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri Kedah tetap mahu Pulau Pinang membayar caj air mentah dari kawasan Ulu Muda.

Menteri Besarnya, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya telah meletakkan bayaran sebanyak 10 sen bagi satu meter padu, namun bersedia untuk berunding dengan Pulau Pinang.

Bagaimanpun, kerajaan Pulau Pinang bertegas tidak akan membayar satu sen atau memberi sumbangan kepada Kedah berhubung pengambilan air mentah dari Sungai Muda dan membantah cadangan pembinaan 14 tangki air di Sungai Muda.

Menurut Tong Keong rakyat Pulau Pinang termasuk Ketua Menteri, Chow Kon Yeow sedia maklum negeri itu berdepan masalah kekurangan bekalan air mentah dan jumlah keluasan keseluruhan negeri adalah kecil berbanding dengan negeri jiran.

“Walaupun kesemua sumber air mentah di negeri ini diproses untuk kegunaan rakyat, kita tetap akan menghadapi masalah kekurangan air pada masa depan sekiranya kita tidak membuat rancangan yang baik dan menyeluruh pada masa kini.

“Kerja pemulihan bekalan air akibat pencemaran merupakan suatu sistem kerja yang rumit dan bagi menjayakan kerja pemulihan ini, pihak berkuasa perlu bertindak, bukan hanya menggunakan mulut,” katanya.

Tambahnya, kempen “Penang Bersih dan Hijau” akan berterusan sehingga tahun 2030 namun pihaknya merasa bingung dengan sikap kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri Pulau Pinang suka membuat publisiti sebelum projek yang dilaksanakan mereka berhasil bagi melepaskan betok di atas tangga.

“Kami menggesa kerajaan Pulau Pinang supaya bersikap jujur dan secara terus terang menjelaskan kepada rakyat tentang perkembangan projek tertentu dengan memberikan bukti yang menunjukkan projek berjaya atau gagal dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN ONLINE