Berita Gerakan

Rakyat Melaka perlu ambil pengajaran daripada PRU14

Nov 12, 2021

KUALA LUMPUR: PAS berpendirian pembaharuan perlu dilakukan dalam landskap politik termasuk membentuk kerjasama dalam membuat tawaran baharu kepada rakyat.

Mengambil kira pengajaran pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, Presidennya, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata episod lalu banyak mengajar rakyat bahawa parti yang begitu lama memerintah mempunyai banyak kelemahan.

“Rakyat Melaka melihat sendiri akibat dalam masa sekejap sahaja Pakatan Harapan (PH) memerintah setelah bertukar daripada Barisan Nasional (BN) yang ada kelemahannya, maka kita perlu buat perubahan dan negara kita sudah berkali-kali lakukannya dari sebelum merdeka lagi.

“Dahulunya, kapal layar simbol Parti Perikatan, selepas peristiwa 13 Mei kemudian buat BN guna pula simbol dacing dan apabila dacing dah lama tentulah ada kelemahannya, (maka) kita perlu buat perubahan dan kita cuba tubuh Perikatan Nasional (PN) yang merupakan satu pendekatan baharu yang tidak ekstrem,” katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pentas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang diadakan di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Hadir sama Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Dato’ Dominic Lau Hoe Chai.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN mengharapkan agar rakyat di Melaka mengambil pengajaran terhadap perkara yang telah berlaku pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas.

“Kalau salah pilih, kita akan terima akibatnya. Kalau pilih betul kita terima nasib yang baik. Cukup PRU yang lalu, beri pengalaman kepada rakyat.

“Sebelum ini banyak yang hendak dibuat PH, nak turun harga minyak 24 jam, janji macam-macam, umpama nak kahwin dengan Puteri Gunung Ledang, janji bukan-bukan dan atas sebab itu rakyat memilih PH.

“Apabila menang, PH nak rungkai pula pelbagai Perlembagaan, banyak kenyatan dibuat mencabar perpaduan kaum dan kami mengambil langkah buat perubahan secara demokrasi mengumpulkan wakil rakyat, mula-mula PAS dengan Umno mesti bersatu, tidak cukup Muafakat Nasional (MN). kita ada PN.

“Parti lain mesti yang tidak ekstrem, kita tolak parti ekstrem, parti yang nak rungkai Perlembagaan, kita tolak tak terima kerana sekarang terang PH nak rungkai Perlembagaan, walaupun tak buat lagi tetapi banyak kenyataan (berkaitan) dikeluarkan semasa mereka memerintah,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 12/11/2021