Berita Gerakan

Rakyat sudah muak – Gerakan

Mei 9, 2020

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan membantah sikap segelintir ahli-ahli politik yang cuba mengalihkan tumpuan rakyat Malaysia dengan permainan politik baru.

Ketua Biro Perpaduan Nasional Parti Gerakan Malaysia, H. Puvaniten berkata, seluruh negara sepatutnya bersatu-padu memerangi penularan wabak Covid 19 tanpa mengira ideologi politik.

”Kita masih belum menamatkan lagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekarang kita berada di dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Ini bukan bermakna wabak Covid-19 telah selesai.

“Covid-19 belum tamat lagi, sudah dibangkitkan semula dengan isu permainan politik memandangkan Dewan Rakyat bakal bersidang 18 Mei ini.

“Jangan mempermainkan emosi rakyat Malaysia sekali lagi. Kita baru selesai kemelut politik negara pada dua bulan yang lalu dan pun sudah berakhir. Kini kita sudah lihat kelancaran dari segi pentadbiran kerajaan,” katanya.

Puvaniten berkata demikian susulan usul tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bakal dibawa pada sidang Dewan Rakyat.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof telah menerima usul yang dikemukakan oleh Tun Dr, Mahathir Mohamad untuk meminta undi tidak percaya terhadap Muhyiddin. Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3) diterima untuk dibawa ke mesyuarat Dewan Rakyat pada 18 Mei ini.

Puvaniten meminta pihak-pihak terbabit supaya mengelakkan budaya politik berlebihan pada waktu ini kerana rakyat sudah muak.

Lagipun, katanya, Gerakan tidak mahu usul berkenaan bertambah rumit ketika persidangan Dewan Rakyat berlangsung.

Beliau juga mempersoal apakah agenda usul ketidakpercayaan terhadap Perdana Menteri dibuat.

”Jangan rosakkan perancangan kerajaan terhadap wabak Covid-19. Pada waktu ini, agenda utama ialah memutuskan penularan wabak Covid-19 dan jangan disebabkan permainan politik, fokus utama membendung wabak ini tergendala.

”Lihatlah pengorbanan semua pihak dalam membendung penularan wabak ini. Paling tidak cubalah hargailah mereka yang sedang bertungkus-lumus dan bersusah-payah menjadi barisan hadapan yang tidak kira masa dan cuaca untuk mengawal Covid-19,” ujarnya.

Tambah Puvaniten, ahli-ahli politik harus bersabar dan mengutamakan keperluan negara dahulu dan bukan berpolitik secara berlebihan.

Cara terbaik untuk membentuk semula kerajaan ialah dengan mendapatkan semula mandat rakyat melalui Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Mengambil kira kebimbangan yang bakal berlaku pada 18 Mei ini, Puvaniten berkata, rakyat sudah pun dapat menilai kepimpinan pemerintahan negara yang menjadi kerajaan ketika ini.