Berita Gerakan

Tiada lagi peruntukan kerusi tradisional dalam PRU akan datang – Dr Dominic Lau

Dis 5, 2021

KUALA LUMPUR, 4 Dis: Parti GERAKAN mengingatkan kepada semua pemimpin serta ahlinya bahawa tiada lagi peruntukan kerusi tradisional dalam pilihan raya umum akan datang.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, berkata pendekatan pilihan raya pada masa kini adalah bersandarkan kebolehan untuk menang sesuatu kawasan.

Justeru, kata beliau, kualiti calon, pergerakan parti dan jenteranya serta sokongan kawasan amat diperlukan dalam menentukan kemenangan  calon parti di sesebuah kawasan pilihan raya.

“Apa yang kita perlu tekankan di sini adalah menguatkan jawatan kuasa bahagian, memastikan jentera kita kuat dan kenal pasti calon yang lebih layak, yang mampu mewakili parti dan gabungan.

“Jangan asyik bergantung kepada kerusi tradisi, tetapi keputusannya tidak berpihak kepada kita,” katanya ketika ucapan dasar Persidangan Perwakilan Nasional GERAKAN di ibu negara, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Penasihat GERAKAN, Dato’ Seri Mah Siew Keong; serta mantan Presiden GERAKAN, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.

Beliau berkata, GERAKAN merupakan sebahagian daripada gabungan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan langkah seterusnya parti itu perlu mencerminkan penerimaan serta pembaharuan dengan mengambil pendekatan dalam memahami strategi inovasi dan nilai semasa bagi mendekati norma baharu dalam politik.

“Inovasi nilai dalam politik yang dimaksudkan adalah bagaimana kita mengguna pakai perubahan semasa dalam urusan politik dan khidmat masyarakat.

“Bagi GERAKAN, saya menyeru saudara-saudari sekalian mendekati kecanggihan teknologi, inovasi, dan memberikan khidmat masyarakat yang seiring dengan peredaran zaman. Norma baharu ini bukan hanya menyentuh pasca pandemik, ia juga memberitahu kepada pendekatan kita dalam dunia yang berteknologi tinggi ini,” katanya.

Dr Dominic Lau berkata, parti juga perlu memastikan penekanan inovasi nilai dalam mendekati belia dan menjelaskan ideologi, objektif dan harapan parti kerana menyedari golongan itu mampu membawa obor GERAKAN ke arah kegemilangan selain peranan dalam penyatuan dan pembangunan negara.

Beliau menegaskan, GERAKAN juga akan terus memastikan ketelusan pemimpin parti ke atas tugas dan menjauhkan diri daripada sebarang gejala rasuah selama memegang jawatan utama parti.

“Kita berikrar untuk tidak berkompromi dalam sebarang agenda rasuah dan akan memastikan GERAKAN bebas dari sebarang elemen korupsi.

“Sebagai parti politik, pencegahan ke atas korupsi perlu diutamakan dan dijadikan sebagai asas dalam setiap langkah. Barulah kita dapat membina sebuah institusi yang kukuh. Asas sesebuah pergerakan tidak sepatutnya dicampur adukkan dengan gejala negatif seperti rasuah. Jika tidak, binasa pergerakan tersebut!” katanya.

Mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini, Presiden GERAKAN itu berkata, walaupun calon parti  tidak berjaya merampas sebarang kerusi, namun mengikut data Suruhan Pilihanraya, PN berjaya memperolehi lebih 24 peratus undi popular di Melaka.

“Ini satu perkara yang penting, dan memberi motivasi kepada kita untuk bergerak ke hadapan serta mampu mencipta kegemilangan,” katanya sambil menegaskan PN bukan lagi alternatif tetapi satu pilihan yang perlu diutamakan.