Berita Gerakan

Tindakan Gerakan tuntut Pas serah kerusi DUN Kota Lama mengejutkan

Feb 15, 2021

KUALA LUMPUR – Tuntutan yang dibuat oleh Parti Gerakan  Kelantan yang mahu Pas menyerahkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama kepada Gerakan untuk ditandingi dalam PRU-15 agak mengejutkan.

Kenyataan tuntutan itu dibuat Pembantu Setiausaha Parti Gerakan Negeri Kelantan, Gan Thuan Bun.

Setiausaha Agung Gerakan, Mak Kah Keong berkata, kenyataan itu di luar jangkaan dan pengetahuan pusat.

Menurutnya, kenyataan tersebut akan memberi kesan negatif kepada hubungan silaturahim parti komponen Perikatan Nasional (PN).

”Kebebasan bersuara tidak harus mecetuskan kortoversi lebih-lebih lagi Gerakan baru menyertai PN. Masih awal lagi untuk membincangkan sebarang perkara berkaitan pengagihan kerusi pilihan raya di peringkat Pusat Gerakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kah Keong mengulas kenyataan Gan yang menuntut Pas menyerahkan kerusi DUN berkenaan.

Kata Gan, sudah sekian lama Pas mempertahankan kerusi di DUN Kota Lama sedangkan majoriti pengundi di DUN itu adalah masyarakat Cina.

Oleh itu, beliau berpendapat sudah tiba masanya Pas menyerahkan kerusi di DUN tersebut kepada Gerakan untuk ditandingi dalam PRU-15.

Kah Keong menjelaskan, agenda utama Gerakan dan PN adalah menjaga kebajikan rakyat dan membantu untuk memulihkan ekonomi dengan secepat mungkin.

“Sekarang bukanlah masa untuk membincang pengagihan kerusi dan PRU-15. Ketika ini kita semua harus fokus dan beri keutamaan untuk menangani wabak Covid-19 dan merangka pelan pemulihan pasca pandemik,” tambahnya.

Beliau berkata, Gerakan bersama dengan parti-parti dalam PN akan berusaha memastikan keadaan negara pulih sepenuhnya, ini termasuk kesejahteraan rakyat.

“Bab pilihan raya, kita tunggu selesaikan agenda rakyat dulu,” ujarnya. – MalaysiaGazette