Slide SERTAI KAMI SUMBANGAN SERTAI KAMI SUMBANGAN

Berita Gerakan

Tulisan Jawi: GERAKAN sudah fail rayuan, tunggu tarikh pendengaran

Dis 25, 2019

KUALA LUMPUR – Gerakan telah selesai memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 28 November lalu yang menolak permohonan parti itu untuk melarang kerajaan melaksanakan tulisan seni khat Jawi di sekolah vernakular negara ini.

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau berkata, barisan penasihat undang-undang parti yang terdiri daripada empat orang peguam telah selesai memfailkan rayuan mencabar keputusan itu di mahkamah pada Isnin 23 Disember lalu.

Katanya, mahkamah bagaimanapun belum menetapkan tarikh pendengaran rayuan itu yang telah difailkan Gerakan.

“Gerakan menerusi 4 orang peguam kami telah selesai memfailkan rayuan di mahkamah Tinggi Pulau Pinang Isnin lalu,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Ditanya bila kes rayuan itu akan didengar oleh mahkamah, Dominic bagaimanapun menjelaskan, beliau menjangkakan rayuan mereka akan didengar dalam masa sebulan atau dua bulan lagi sebelum Mac 2020.

Menurutnya, Gerakan baru sekadar memfailkan rayuan dan sedang menunggu mahkamah untuk membalas kepada rayuan mereka mengenai tarikh pendengarannya.

“Setakat ini Mahkamah Tinggi tidak memberikan tarikh pendengaran rayuan. Saya jangkakan mahkamah akan menentukan tarikh dan mengumumkan kepada kami kelak.

“Setakat ini kami tidak diberi jangka masa bila agaknya pendengaran itu tetapi ia bergantung mahkamah untuk melihat sejauh mana besar kes ini dan wujud keperluan untuk disegerakan pendengaran.

“Berdasarkan tekanan politik semasa terhadap masyarakat bukan Melayu, serta permohonan awal kami Oktober lalu yang didengar dan diberi keputusan pantas dalam masa sebulan, kami yakin pendengaran rayuan ini pula akan disegerakan,”tegasnya tanpa mengulas lanjut.

Sepertimana pihak Dong Zong yang terus mencabar menentang pelaksanaan tulisan Jawi dalam sekolah vernakular, Gerakan juga tidak mahu berganjak daripada keputusan supaya subjek tersebut tidak diajar di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil. -MalaysiaGazette