Slide SERTAI KAMI SUMBANGAN SERTAI KAMI SUMBANGAN

Berita Gerakan

‘Vaksin COVID-19 belum diwajibkan kepada penerima’

Okt 18, 2021

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) belum memuktamadkan pemberian vaksin COVID-19 secara wajib kepada penerimanya termasuk bagi dos penggalak yang sudah bermula pengagihannya ketika ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata sehingga kini, penerima vaksin adalah secara sukarela, sama seperti pemberian dos sebelum ini dengan KKM sentiasa memberi saranan dan galakan berterusan kepada mereka yang berisiko tampil mendapatkan dos penggalak.

“Mendapat vaksin adalah sangat penting, sebab itu ‘tagline’ kita lindung diri lindung semua, termasuk mahu melindungi mereka yang tidak boleh menerima vaksin disebabkan kesihatan dan sebagainya.

“Ketika ini, vaksin diberikan percuma dan sukarela termasuk dos penggalak, tiada paksaan tetapi kerajaan khususnya KKM setiap hari menyarankan pentingnya mengambil vaksin untuk keselamatan semua rakyat.

“Setakat ini, kita belum lagi memuktamadkan sama ada orang itu wajib mengambil vaksin COVID-19,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Teo Eng Tee @ Teo Kok Chee, yang bertanyakan sama ada KKM bercadang mewajibkan penerimaan vaksin termasuk dos ketiga dan penggalak kepada rakyat pada masa depan.

Sebelum ini, KKM memberi kelulusan bersyarat bagi pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 keluaran Pfizer yang dikhususkan kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas dan anggota barisan hadapan yang menerima dos lengkap sekurang-kurangnya enam bulan lalu.

Sementara itu, menjawab soalan asal, Dr Noor Azmi berkata, setakat Sabtu lalu, sebanyak 9,383 dos penggalak vaksin COVID-19 sudah diberikan kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas, manakala selebihnya adalah anggota barisan hadapan.

Portal COVIDNOW hari ini memaklumkan, tambahan 2,662 dos penggalak vaksin COVID-19 sudah diberikan kepada kumpulan sasar, menjadikan jumlah kumulatifnya kini mencecah 21,477 sejak ia mula dilancarkan Khamis lalu.