Siaran Akhbar

Komen tentang Isu Pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40

Ogo 27, 2023

Perkara ini menjadi isu terhangat di negara kita kebelakangan ini. Bagi saya, Kementerian Pendidikan Malaysia pun telah mengeluarkan pekeliling, modul ini hanya akan melibatkan guru-guru dan murid-murid yang beragama Islam di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) sahaja.

Jadi, saya melihat tidak timbulnya satu isu atau unsur yang boleh menjejaskan keamanan dan ketenteraman masyarakat malah mengganggu gugat kebebasan agama selain daripada agama Islam. Ini adalah silibus yang bukan dipelajari mana-mana guru atau murid yang bukan beragama Islam. Malah mengikut kefahaman saya, Hadis mempunyai pengaruh yang penting selepas Quran dan ia juga adalah sumber rujukan kedua bagi seluruh umat Islam, Hadis adalah merupakan apa-apa yang disandarkan kepada Baginda Nabi Muhammad SAW yang terdiri daripada kata-kata, perbuatan dan pengakuan.

Oleh itu, saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia boleh mengambil sikap bertenang dalam memahami perkara ini. Kita berada di daam sebuah masyarakat yang majmuk, sensitiviti setiap kaum perlu dijaga, perkara-perkara sebegini perlu ditangani secara cermat dan berhemat supaya tidak menimbulkan kegusaran hati mana-mana pihak. Lagipun, ada perkara yang lebih penting untuk diberi tumpuan dan perlu diutamakan seperti membangunkan ekonomi negara bagi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.

Sebagai seorang ahli politik yang mempunyai pengaruh dalam kalangan masyarakat, seharusnya mempunyai tanggungjawab untuk memahami secara mendalam sebelum mengeluarkan mana-mana kenyataan lebih-lebih lagi apabila melibatkan isu-isu sensitif di kalangan rakyat yang berbilang agama, bangsa dan adat seperti Malaysia ini.

Gerakan berperinsip kepada KESEDERHANAAN, kami tidak berniat untuk menunggang ataupun mengambil kesempatan dalam isu-isu seperti ini kerana kami sedar tentang akibatnya kepada masyarakat umum. Lebih-lebih lagi, dalam bulan kemerdekaan ini, banyakkan mewujudkan suasana harmoni dan mengutamakan perpaduan antara kita semua.