Siaran Akhbar

Kenyataan Azalina tidak berasas menipu diri sendiri dan rakyat Malaysia

Sep 18, 2023

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mendakwa bahawa kerajaan hari ini ‘walk the talk’ kerana kerajaan komited dalam pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya bagi memastikan integriti institusi perundangan terpelihara.

Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia YB Senator Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai mengkritik Menteri Undang-Undang itu kerana kenyataan beliau tidak berfakta, menipu diri sendiri dan rakyat Malaysia.

Dominic Lau berkata, selepas Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan, mereka hanya menipu rakyat dengan tidak menunaikan janji mereka semasa Pilihan Raya Umum ke-15 lepas.

“Selama 9 bulan PH-BN memerintah, kerajaan masih tidak mampu menyelesaikan kenaikan harga barang dan tidak mampu menjaga kebajikan rakyat,”

“Kerajaan PH-BN juga menipu untuk memberi kebebasan bersuara kepada rakyat, dan juga semua media. Ini dikatakan walk the talk?,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Dominic Lau, bukan itu sahaja, kerajaan PH-BN hipokrit dalam memerangi rasuah. Kerajaan bukan sahaja tidak menyiasat atau mendakwa rasuah yang melibatkan ahli parlimen, sebaliknya mereka melepaskan kluster mahkamah.

“Bukan itu sahaja, Anwar juga pernah berkata bahawa beliau akan memberikan peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang dahulu. Tetapi sehingga ke hari ini, ahli parlimen pembangkang masih belum menerima peruntukan walaupun satu sen”

“Jadi, penggulangan Azalina Othman di dalam Dewan Rakyat hari ini adalah satu penipuan dan penghinaan kepada rakyat Malaysia. Saya berharap rakyat Malaysia tidak mempercayai kerajaan PH-BN, bersatu padu memperjuangkan demokrasi dan reformasi yang sebenar,” ujarnya