Siaran Akhbar

GERAKAN menggesa PM utntuk melantik seorang Menteri Kewangan sepenuh masa.

Nov 27, 2023

Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia, YB Senator Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, semasa perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan dan melantik seorang Menteri Kewangan sepenuh masa.

Dr. Dominic Lau menyatakan tujuan yang diutarakan oleh akta tersebut adalah memperbaiki dan mengukuhkan pengurusan kewangan awam, adoptasi mekanisme akauntabiliti, meningkatkan kebertanggungjawaban, dan menguruskan tahap hutang yang berwaspada.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, tidak menunjukkan kebertanggungjawaban yang sepatutnya dalam menangani hal ehwal kewangan negara. Dalam setahun ini, prestasinya membuktikan beliau bukanlah seorang yang boleh menunaikan tanggungjawab Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada masa yang sama. Dua jawatan kanan oleh seorang individu bukan sesuatu yang boleh membanggakan, ia patut dinilai mengikut keperluan profesionalisme eksekutif.

Dr. Dominic Lau menyatakan, “Anwar telah melakukan 21 lawatan rasmi ke 14 negara sejak mengetuai Kerajaan dan telah membelanjakan sejumlah 52 hari di luar negara. Kecenderungan beliau melawat ke sana ke sini, mengambarkan beliau seolah-olah juga memangku jawatan Menteri Luar Negeri! Malaysia memerlukan seorang Menteri Kewangan sepenuh masa, yang berada di Malaysia dan bukan seorang Menteri Kewangan yang menjalankan tugas secara ‘separuh masa'”

Dr. Dominic Lau berpendapat Anwar perlu letak jawatan sebagai Menteri Kewangan dan melantik seorang pakar kewangan yang faham akan keadaan fiskal negara dan dapat membantu Kerajaan Anwar Ibrahim memperbaiki kelemahan beliau dalam mengemudi perbendaharaan dan ekonomi negara. Beliau juga mengingatkan Perdana Menteri untuk tidak berkompromi keperluan kewangan negara demi kepentingan politiknya.

YB Senator
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai
Presiden Nasional
Parti Gerakan Rakyat Malaysia