Siaran Akhbar

Cuci Menteri-Menteri Kabinet pada Hari Cuci Malaysia

Feb 13, 2025

Presiden Nasional GERAKAN, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, mencadangkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, melaksanakan “Hari Pembersihan Kabinet” bersempena dengan “Hari Cuci Malaysia” yang akan diadakan pada bulan September. Cadangan ini bertujuan untuk menteri-menteri kabinet yang ‘tidak berfungsi dan tidak menggalas tanggungjawab selayaknya.

“Hari Cuci Malaysia yang dicadangkan oleh Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, adalah sangat sesuai. Perdana Menteri juga boleh menunjukkan kesungguhan beliau dalam usaha membina Malaysia yang lebih bersih. Pakatan Harapan gagal memenuhi harapan rakyat seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15, menyebabkan kekecewaan di kalangan pengundi. Kerajaan Perpaduan tidak boleh terus menunjukkan prestasi yang lemah, sebaliknya perlu melakukan perubahan untuk mengembalikan tenaga dan keyakinan rakyat,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa masih terdapat masa sebelum bulan September untuk Anwar memantau prestasi anggota kabinet dalam tempoh enam bulan. Jika terdapat menteri atau timbalan menteri dalam kalangan 60 orang anggota kabinet yang tidak menunjukkan sebarang usaha, ia merupakan satu pembaziran sumber negara. Mana-mana menteri atau timbalan menteri yang gagal memenuhi harapan Anwar harus digugurkan.
“Prestasi menteri yang tidak memuaskan memberi kesan langsung kepada imej negara. Konsep ‘gagal, maka diganti’ adalah prinsip utama Pakatan Harapan. Prestasi anggota kabinet dapat dinilai oleh rakyat secara terang-terangan. Jika ada yang tidak menjalankan tugas dengan baik, Perdana Menteri sepatutnya menunjukkan keberanian dan iltizam dalam melakukan reformasi serta menggantikan mereka,” tegasnya.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada hari ini, Dominic Lau menyatakan bahawa terdapat beberapa menteri dalam kabinet yang hampir “menghilangkan diri” dan hanya muncul sekali-sekala. Selain itu, ada juga menteri yang gemar memainkan isu perkauman dan keagamaan serta mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan sentimen anti-kekayaan, yang jelas bercanggah dengan konsep kerajaan MADANI yang mengutamakan kesaksamaan untuk semua.

Beliau turut menamakan beberapa menteri yang perlu dipertimbangkan untuk digugurkan, antaranya Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohd Na’im Mokhtar; serta Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim sendiri.

Sebagai contoh, beliau menyatakan bahawa isu bekalan beras masih belum dapat diselesaikan sehingga kini, manakala bekalan kelapa terus berkurangan. Perdana Menteri pula terus mengumumkan pelaburan berpotensi yang tidak realistik. Harga barang bukan sahaja tidak menurun, malah lebih banyak cukai baharu diperkenalkan, sekali gus menambah beban rakyat. Jika para menteri gagal membantu Perdana Menteri menangani masalah negara, tidak wajar mereka terus membazirkan wang pembayar cukai.

“Perdana Menteri sendiri tahu siapa yang patut digantikan, tetapi mungkin terhalang oleh tekanan politik dan keperluan untuk mengukuhkan kedudukannya. Saya percaya Anwar menghadapi tekanan untuk melakukan rombakan kabinet, tetapi beliau masih ragu-ragu dan tidak berani melaksanakannya” katanya.

Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai
Presiden Nasional GERAKAN,

Dilihat PAC lebih berfungsi daripada menteri kabinet Anwar

Dilihat PAC lebih berfungsi daripada menteri kabinet Anwar

Presiden Nasional GERAKAN, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, berkata Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) lebih proaktif dalam menangani isu kenaikan kos insurans perubatan berbanding Kabinet. Adakah Perdana Menteri mahu PAC menggantikan tugas menteri dalam...

baca lagi