Siaran Akhbar

Fasa Kedua: peluang Malaysia bebas COVID-19

Apr 1, 2020

Tempoh lanjutan pergerakan kawalan fasa kedua merupakan tempoh paling kritikal yang menjadi penentu Malaysia bebas dari wabak Covid-19. Biarpun tahap disiplin rakyat dalam negara mencapai tahap yang memuaskan, rantaian pandemik ini masih belum dapat diputuskan sehingga hari ini.

Malah jumlah kes terus meningkat setiap hari. Sehingga semalam, beberapa kawasan Zon Merah telah disanitasi dan dikawal rapi untuk mengelakkan gelombang seterusnya berlaku. Parti Gerakan Rakyat Malaysia merayu supaya rakyat kekal tenang dan duduk di rumah.

Untuk memastikan semua dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri, bulan depan, rakyat dinasihatkan supaya patuh kepada perintah PKP yang bakal berakhir 14 April ini. Jumlah kes yang ingkar arahan pihak berkuasa pula terus meningkat, lebih 700 individu ditahan kerana melanggar PKP hari ke-13. Kita perlu faham bahawa sikap kurang sensitif ini akan pasti memudaratkan keadaan. Malah jika kes Covid-19 kekal meningkat sehingga pertengahan bulan April, kerajaan mungkin akan mengambil pendekatan untuk melanjutkan tempoh perintah yang lebih ketat.

Juga berharap kerajaan akan tetap dengan tidak meluluskan sebarang aktiviti berkumpulan termasuk bazar Ramadan untuk seketika. Seperti di Melaka dan Negeri Sembilan, kerajaan persekutuan perlu menasihatkan orang ramai untuk mengugurkan sebarang cadangan untuk Bazar Ramadan, sekurang-kurangnya sehingga selesai putus rantaian pandemik ini. Perkara ini penting dalam menjamin Negara bebas penuh dari ancaman virus ini.

Petugas barisan hadapan sedang memberi yang terbaik dalam mengurangkan jumlah kes Covid-19, tetapi jika yang segelintir tetap ingkar, kerajaan perlu bertindak lebih tegas dengan menguatkuasakan darurat secara totalis.