Siaran Akhbar

Fokus kepada pengeluaran KWSP bersasar, bantu selesaikan hutang rakyat

Mac 8, 2023

Timbalan Setiausaha Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Wendy Subramaniam menggesa Kerajaan untuk memberi kelonggaran untuk pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dari Akaun 1 secara bersasar kepada mereka yang berada dalam kategori B40 dan M40, yang sangat memerlukan pengeluaran tersebut dalam usaha mengembalikan kehidupan harian mereka selepas impak pandemik dan ketidak-tentuan ekonomi semasa.

Tambah beliau, pengeluaran tersebut perlu berfokuskan secara one-off kepada pembayaran hutang seperti sewa beli kenderaan, pembayaran ansuran rumah didiaminya, pendidikan dan sebagainya yang boleh mengugat kestabilan sosial ekonomi dan kesihatan mental sesebuah keluarga.

Wendy Subramaniam juga berpendapat, pengeluaran bersasar yang dicadangkan juga berkemungkinan dapat membantu mereka yang menghadapi tekanan muflis kerana tidak dapat membayar timbunan hutang mereka. Rujukan kepada data Jabatan Insolvensi Malaysia, pinjaman peribadi dan sewa beli kenderaan adalah kategori tertinggi seseorang diisytihar bankrap.

“Kerajaan campuran perlu memberi ruang kepada rakyat marhaen dalam menyelesaikan masalah mereka dengan menggunakan simpanan Akaun 1. KWSP boleh terus bayar kepada institusi perbankan terbabit”, ujarnya

Timbalan Setiausaha Agung GERAKAN juga berkata cadangannya bukan untuk mengeluarkan sepenuh simpanan hari tua, akan tetapi beberapa peratus yang ditetapkan bersesuaian dengan keadaan kekangan kewangan seseorang itu.

“Kerajaan perlu membantu rakyat secara komprehensif, dan fokus kepada pemulihan. Rakyat perlukan wang dalam menangani serta mengembalikan keadaan kewangan mereka kepada paras yang sihat. Tanggungjawab kerajaan untuk bantu rakyat, jangan asyik bagi pandangan teori”, kata beliau.

WENDY SUBRAMANIAM
TIMBALAN SETIAUSAHA AGUNG GERAKAN