Siaran Akhbar

GERAKAN akan sentiasa teguh bersama PN

Jan 20, 2025

Saya tertarik untuk memberi pandangan ke atas beberapa komen ‘penganalisis’ politik yang berpandangan bahawa usaha GERAKAN bergerak melepasi garisan perkauman, agama dan naratif konservatif adalah tidak berasas dan tidak menguntungkan.

Pada minggu yang lepas, GERAKAN telah mencadangkan lapan tindakan utama, bertujuan untuk mengurangkan perbahasan berkaitan agama dan kaum, dan memberi fokus terhadap isu ekonomi, pendidikan, kesihatan, pengangguran, tadbir urus kerajaan, keharmonian negara, serta transformasi keselamatan sosial. Tanpa diduga, segelintir pihak telah memberi komen bahawa GERAKAN tidak boleh lari daripada isu agama atau perkauman jika kekal sebagai parti komponen Perikatan Nasional (PN).

“Saya berharap masyarakat dapat melihat keazaman dan keutamaan GERAKAN dengan lensa yang lebih optimis. Malahan, GERAKAN telah diasaskan atas idealisme keharmonian masyarakat majmuk, keadilan sosial, kesaksamaan ekonomi, demokrasi berpolitik serta liberalisme budaya.” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

GERAKAN sebagai sebuah parti yang mewakili pelbagai kaum, komponen-komponen dalam gabungan sudah pasti tidak dapat lari daripada perbezaan idea dan pendapat dalam sesuatu perkara, tetapi “we agree to disagree”, yang merupakan tanda demokrasi dan keindahan hubungan toleransi yang ditonjolkan antara sesama komponen PN. Apabila parti-parti lain mempunyai tuntutan berkaitan bangsa dan agama, ia tidak menghalang GERAKAN daripada terus memperjuangkan hak-hak secara majmuk dan menyeluruh bagi rakyat negara ini.

Namun, GERAKAN amat kecewa dengan sikap dua darjat dan hipokrit yang telah ditunjukkan oleh pihak yang mengkritik GERAKAN kerana tetap teguh bersama sahabat kami dalam gabungan PN, sedangkan parti-parti dan pemimpin Pakatan Harapan juga pernah bersama dengan sahabat komponen kami sebelum ini dalam gabungan Pakatan Rakyat tanpa menzahirkan sebarang isu berkaitan agama dan kaum ketika itu. Namun, apabila kini kami bersama PAS, tiba-tiba ia menjadi sesuatu perkara yang tidak boleh diterima dan dipandang enteng oleh segelintir pihak tersebut.

Pendekatan dan naratif politik GERAKAN dalam memperjuangkan kebimbangan sejagat, yang merangkumi kepentingan masyarakat tidak mengira kaum dan agama di Malaysia adalah pendekatan yang amat realistik.

Niat murni ini juga tidak perlu dihalang atau dipandang rendah oleh mana-mana pihak yang hanya sekadar mahu memecahbelahkan keharmonian politik dan masyarakat di negara ini. GERAKAN sentiasa komited untuk memberikan fokus sepenuhnya terhadap kepentingan dan kebajikan seluruh rakyat Malaysia, dan kami tidak mahu terjebak dengan politik kotor dan reformasi palsu. Kami juga tidak mahu menjanjikan roket tetapi hasilnya hanya sekadar tin kosong, dan tidak mahu bergerak tanpa memenuhi Amanah yang telah dipikul.

Bersama kita bergerak ke arah politik yang matang, merealisasikan Bangsa Malaysia, dan menghormati rakyat. Biar rakyat menentukan kesetiaan kami.

Wendy Subramaniam
Ketua Penerangan
Parti Gerakan Rakyat Malaysia