Siaran Akhbar

GERAKAN kecewa dengan Kerajaan Pulau Pinang kerana mengheret rakyat ke dalam masalah air

Jan 8, 2024

Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) kecewa dengan Kerajaan Pulau Pinang kerana mengheret rakyat ke dalam masalah air yang sebenarnya mereka tidak mampu untuk menyelesaikannya walaupun hampir dua dekad mentadbir negeri Pulau Pinang.

Sebelum ini, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengeluarkan notis bahawa pada 10 Januari 2024 hampir seluruh Pulau Pinang akan mengalami masalah gangguan bekalan air.

Menurut Presiden Nasional GERAKAN, YB Senator Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, walaupun notis itu mengatakan 96 jam tetapi berdasarkan pengalaman yang lepas, masalah gangguan bekalan air diselesaikan lebih lewat daripada yang dijanjikan.

Ekoran isu masalah air tersebut, sudah pasti DAP yang kini berkuasa di Pulau Pinang hanya menyediakan beberapa lori air atau bekas tadahan air tetapi tanpa sedar mereka hanya menangani gejala yang datang tetapi tidak menyelesaikan punca sebenarnya masalah air di Pulau Pinang.

“Itulah DAP pandai menabur janji tetapi sering kali gagal ditepati. Kalau dulu asyik ‘baling batu dan sorok tangan’, lontarkan masalah air ini kepada Kerajaan Pusat. Kini DAP dalam Kerajaan Pusat mereka hanya diam dan rakyat terpaksa menanggung beban atas kecuaian mereka” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa yang sama, Dominic Lau mengajak untuk semua penduduk yang mengalami masalah air ke Teluk Kumbar kerana terdapat seorang yang baik hati untuk berkongsi air perigi miliknya.

Beliau mengesahkan tindakan Cik Suria Nawawi itu harus diberi pujian dan pada masa yang sama juga beliau menyatakan kebimbangan mengenai industri dan ekonomi Pulau Pinang terutamanya di Bayan Lepas.

Seperti yang kita sedia maklum, Zon Perindustrian Bayan Lepas merupakan antara zon perindustrian terbesar di Malaysia. Ia merupakan ibu kepada industri berteknologi tinggi dan boleh digelar sebagai enjin ekonomi Malaysia Utara.

“Bagaimanapun, berikutan kekurangan air, ratusan kilang di Pulau Pinang akan memilih untuk menutup operasi dalam tempoh gangguan bekalan air”

“Saya, Dominic Lau, mengulangi dengan tegas, jika Chow Kon Yeow dan DAP tidak dapat menjaga Pulau Pinang, sila berundur dan memohon maaf serta mengembalikan kuasa kepada rakyat!” tegasnya.

YB SENATOR
DATUK DR. DOMINIC LAU HOE CHAI
PRESIDEN NASIONAL
PARTI GERAKAN RAKYAT MALAYSIA