Siaran Akhbar

GERAKAN merayu agar Kerajaan mempertimbangkan semula program MyBrain15

Mac 30, 2023

Isu MyBrain menarik perhatian Dewan Negara pada pagi ini, dengan beberapa Senator menyoal Kementerian Pendidikan Tinggi berkenaan memperkenalkan semula skim biasiswa MyBrain yang telah diberhentikan pada tahun 2018.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai menyoal Kerajaan, adakah aspek kewangan menjadi penghalang utama kepada pelaksanaan semula program tersebut. Beliau juga menyeru agar kementerian mempertimbangkan semula program MyBrain15 ini dan memberi peluang kepada belia Malaysia dalam menyambung pendidikan mereka.

“Saya ingin mencadang untuk menubuhkan satu Tabung MyBrain dengan meneroka kerjasama dan derma daripada MNC, GLC dan GLIC” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan dalam persidangan Dewan Negara hari ini kepada Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Dato’ Hj. Mohammad Yusof Bin Apdal.

Menurut beliau yang juga Presiden Nasional GERAKAN, Kementerian perlu mencari alternatif atau jalan yang sesuai dalam memperkenalkan semula biasiswa berkenaan agar anak-anak yang ingin menlanjutkan pengajian tinggi ke peringkat ijazah sarjana dan kedoktoran tidak merasa beban kewangan yang tinggi.