Siaran Akhbar

GERAKAN sedia jadikan Dewan Wawasan PGRM sebagai Pusat Pemberian Vaksin

Mei 21, 2021

 

Parti Gerakan Rakyat Malaysia telah menawarkan kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin untuk menggunakan Dewan Wawasan di Menara PGRM sebagai pusat pemberian vaksin (PPV).

Presiden Parti GERAKAN, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, kerajaan boleh menggunakan Dewan Wawasan di Menara PGRM tersebut secara percuma, yang pentingnya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berjalan dengan lancar.

“Pembukaan pusat pemberian vaksin di sini merupakan satu inisiatif yang baik kerana setiap hari ramai orang awam datang ke Menara PGRM atas urusan peribadi. Jadi ia boleh menarik orang ramai untuk mendaftar vaksin selain membantu kerajaan dalam menyebarkan ketelusan vaksinasi.

“Malah, Dewan Wawasan yang terletak di Menara PGRM ini hanya memerlukan 5 minit perjalanan sahaja daripada stesen MRT Maluri. Jadi saya rasa isu pengangkutan bukannya masalah,” katanya ketika berbincang mengenai vaksin secara maya dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin hari ini.

Tambah Dominic lagi, bagi orang ramai yang menaiki kenderaan sendiri pula tidak ada masalah kerana di Menara PGRM tempat letak kereta adalah mencukupi untuk menampung kedatangan orang ramai.

Dalam pada itu, Dominic meminta agar kerajaan mempertimbangkan untuk memberi dos vaksin kepada penduduk-penduduk di kawasan zon merah terlebih dahulu dan seterusnya orang yang sedang bekerja.

Pada masa yang sama, YB Khairy juga mengatakan fasa ketiga vaksinasi akan dilakukan secepat mungkin. Setelah tamat kumpulan warga tua, kerajaan akan memberi keutamaan kepada orang yang bekerja.

Minggu ini Malaysia mencatat kes harian Covid-19 paling tinggi setakat ini, sebanyak 6,806 kes pada hari ini.

Dominic Lau berkata, jumlah ini amat membimbangkan dan berharap orang ramai mematahui segala SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan demi memutuskan rantaian Covid-19.