Siaran Akhbar

GERAKAN Sentiasa Memberi Sokongan Penuh Pada Kerajaan Perikatan Nasional

Ogo 4, 2021

Parti Gerakan Rakyat Malaysia akan terus memberi sokongan penuh kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden Nasional Parti GERAKAN Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, biarpun beberapa ahli parlimen menarik balik sokongan namun tidak menjejaskan pendirian GERAKAN untuk bersama PN.

“GERAKAN akan terus melaksanakan amanah serta tanggungjawab kepada rakyat dan negara, khususnya dalam menangani pandemik COVID-19.

“Saya yakin dan percaya Perdana Menteri dan jentera-jentera PN mampu menangani kemelut politik yang disengaja dicetuskan oleh pihak tertentu yang cuba menangguk di air yang keruh,” katanya dalam satu kenyataan menyokong Perutusan Khas Perdana Menteri hari ini.

Dalam pada itu, GERAKAN memuji keberanian Perdana Menteri kerana semua tindakan yang diambil atas dasar memelihara keluhuran Perlembagaan dan mempertahankan kemuliaan institusi Raja Berperlembagaan.

GERAKAN juga menyambut baik, atas ketegasan beliau untuk tidak campur tangan urusan mahkamah. Beliau seorang yang berpegang pada prinsip dan amanat yang diberikan.

“Secara umumnya tugas dan peranan pemimpin bukanlah mudah terutamanya melibatkan negara. Semua hati kena jaga.

“Jadi tindakan beliau untuk tidak campur tangan dan melepaskan individu yang sedang didakwa itu adalah tepat dan sepatutnya sebagai Perdana Menteri,” ujarnya.

Tambahnya, Perdana Menteri kini sudah terbukti mendapat majoriti sokongan ahli Dewan Rakyat. Jadi biarlah kerajaan terlebih dahulu fokus bantu rakyat dan tangani COVID-19,” ujarnya.

Dominic Lau Hoe Chai
Presiden Nasional Parti GERAKAN