Siaran Akhbar

Hantar Peguam Sekiranya Najib Razak Failkan Saman Kepada Muhyiddin Yassin

Ogo 17, 2021

Parti Gerakan Rakyat Malaysia akan menghantar wakil peguam untuk membantu Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Penerangannya, Wan Saiful Wan Jan mengenai isu saman yang akan difailkan oleh Najib Razak dalam hantaran Facebooknya semalam.

Presiden Nasional Parti GERAKAN, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, GERAKAN akan menghantar peguam-peguam tersebut dalam kalangan pemimpin-pemimpin parti yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan dalam bidang udang-undang.

Saman fitnah yang akan difailkan oleh bekas Perdana Menteri itu adalah satu tindakan yang tidak wajar dan dilihat ia adalah satu perbuatan balas dendam.

Ia adalah satu peluang yang diambil ke atas Muhyiddin Yassin setelah tidak lagi tidak ada kuasa sebagai Perdana Menteri.

Kenapa tidak mengfailkan saman sewaktu Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri? Adakah Najib Razak takut banyak kes rasuahnya terbongkar?

Apa yang saya dimaklumkan Najib merujuk kepada ucapan Muhyiddin Yassin semalam yang antara lain menyebut dia tidak akan “bersekongkol” dengan kumpulan “kleptokrat” dan mengganggu kebebasan mahkamah.

Saya ingin bertanya kepada Najib Razak, mengapa dia mahu melenting adakah terasa bahawa itu adalah dia? Siapa makan cili dia rasa pedas lah.

Ahli parlimen atau pemimpin lain tidak pula sampai ingin memfailkan saman. Hanya orang yang rasa dia bersalah sahaja yang terasa bila ucapan itu dibuat.

Memetik kenyataan Wan Saiful Wan Jan dalam Facebooknya mendakwa bahawa antara kes yang dimaksudkan oleh Muhyiddin Yassin dalam kenyataan berhubung campur tangan dalam urusan mahkamah adalah membabitkan Zahid Hamidi dan Najib Razak.

Wan Saiful berkata, ada yang mengatakan Zahid pernah meminta Muhyiddin Yassin menggugurkan kes-kes beliau manakala Najib pula pernah meminta Muhyiddin menukar hakim dalam proses rayuan.

Jadi kenyataan yang dikeluarkan bercanggah dengan Najib Razak yang mengatakan tidak pernah meminta apa-apa bantuan untuk mengganggu kes utamanya.

Saya ulangi lagi, GERAKAN akan sentiasa bersama Perikatan Nasional dan bersiap sedia untuk membantu Muhyiddin Yassin dalam kes saman ini.

Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai
Presiden Nasional Parti GERAKAN