Siaran Akhbar

Isu bekalan telur tak selesai, kerajaan lambat bertindak

Apr 6, 2023

Presiden Nasional GERAKAN YB Senator Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai mengkritik Kerajaan Campuran kerana masih tidak dapat menyelesaikan isu kekurangan bekalan telur ayam di Malaysia.

Walaupun Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Chan Foong Hin berkali-kali menegaskan bahawa Malaysia tidak mengalami kekurangan bekalan telur, tetapi hakikat sebenarnya adalah sebaliknya.

Dalam sesi soal jawab di Parlimen lalu, MAFS mendakwa Malaysia tidak mengalami kekurangan bekalan telur, jadi peningkatan pengeluaran bekalan telur melalui “Program Agropreneur Muda” tidak wujud.

Walhal media tempatan sebelum ini melaporkan, empat daerah di Pahang, Jerantut, Bandar Tun Razak, Jengka, Temerloh dan Maran mengalami isu kekurangan bekalan telur sejak awal Ramadan.

“Jika kerajaan tidak boleh menangani masalah ini dengan berkesan, bagaimanakah kerajaan mahu menyelesaikan masalah yang lebih serius?”

“Tindakan daripada Kerajaan sangat lambat, ia telah menimbulkan keraguan terhadap keupayaan kerajaan” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, Timbalan Menteri MAFS memaklumkan Malaysia tidak mengalami kekurangan bekalan telur, tetapi ia bertentangan dengan apa yang kita lihat di pasaran.

Beliau menegaskan Kerajaan harus mengambil langkah yang lebih proaktif untuk meningkatkan pengeluaran dan bukanlah hanya menafikan perkara tersebut kerana import telur dari India hanya jalan penyelesaian jangka masa pendek.

“Sepatutnya bekerjasama dengan penternak ladang ayam dan melabur lebih banyak dana untuk meningkatkan produktiviti pertanian serta tahap kemahiran penternak.

“Kerajaan juga harus mengurangkan seliaan dan sekatan ke atas pertanian dan penternakan ayam, untuk merangsang inovasi dan daya saing petani dan peternakan ayam” tegasnya.

YB SENATOR DATUK DR. DOMINIC LAU HOE CHAI
PRESIDEN NASIONAL PARTI GERAKAN