Siaran Akhbar

Jangan hilangkan kepercayaan rakyat terhadap agensi kerajaan

Jun 25, 2020

Kuala Lumpur, 25 Jun – Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai hari ini kecewa dengan penangkapan beberapa anggota Jabatan Imigresen serta seorang anggota Pasukan Polis Marin (PPM) susulan dengan penyeludupan warga asing di Johor Bahru. Biarpun mereka yang disyaki akan disiasat, ianya sedikit sebanyak telah menghilangkan kepercayaan rakyat dan mencalarkan imej Jabatan Imigresen.

Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berpendapat tindakan yang tidak bermoral itu bukan sahaja salah di sisi undang-undang malah akan menyebabkan orang ramai hilang kepercayaan terhadap ketelusan jabatan kerajaan.

“Malah memandangkan pemalsuan dokumen yang dilakukan bersama sindiket penyeludupan itu adalah jenayah yang terancang dan dilakukan oleh orang yang berpengaruh. Kerajaan harus merombak semula jabatan terbabit untuk mengelakkan berlakunya kes yang berulang pada masa akan datang.”

Beliau percaya tindakan itu dapat membantu kerajaan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang yang berkesan terhadap kakitangan awam, dan anggota yang terlibat harus dikenakan tindakan dengan segera.

Beliau berkata demikian dalam kenyataanya hari ini.

“Kerajaan harus kerap membuat pemantauan terhadap jabatan-jabatan terbabit demi mengekalkan keselamatan negara. Malah orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sindiket penyeludupan warga asing disyorkan segera melaporkan kepada pihak berkuasa.”

Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berharap semua kakitangan awam yang berkhidmat dengan kerajaan kekal amanah, telus dan berdedikasi dalam menjalankan tugas. Ini kerana rakyat menaruh kepercayaan yang besar kepada mereka untuk menjaga kedaulatan dan keselamatan negara.