Slide Join Us Contribute Join Us Contribute

Siaran Akhbar

Kaji undang-undang untuk pemandu mabuk

Jun 3, 2020

Kuala Lumpur, 3 Jun- Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berpendapat tindakan menyekat, membekukan dan menghentikan lesen penjualan produk alkohol untuk membendung berlakunya kemalangan kerana pemandu mabuk adalah tidak bertepatan. Sebaliknya kesalahan tersebut perlu diletakkan ke atas individu yang terbabit.

Beliau berkata, Parti Gerakan Rakyat Malaysia menyokong tindakan kerajaan agar mempertimbangkan hukuman setimpal untuk pemandu mabuk. Tindakan ini dilakukan demi mengurangkan lebih banyak kematian orang awam.

“Parti Gerakan Rakyat Malaysia mengecam perbuatan pemandu mabuk terutamanya yang menyebabkan kecederaan dan kematian. Ini adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab. Namun begitu, soal minuman alkohol bukan persoalannya. Ianya diumpamakan seperti kejadian individu ambil pisau sayur membunuh orang, tetapi kita jadikan penjual pisau sebagai subjek untuk dipersalahkan. Apakah kita akan melarang penjualan pisau sebagai langkah pencegahan?“

Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai hari ini berkata demikian ketika memberi respon terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan tentang pengkajian semula penjualan arak dalam negara.

Kerajaan sepatutnya mengkaji undang-undang negara lain sebagai rujukan. Termasuk cara mengawal masa dan menyekat penjualan produk alkohol serta perintah larangan mabuk di kawasan tertentu untuk mencegah masalah orang mabuk di tempat awam.

“Difahamkan beberapa negara terbabit mengamalkan larangan minum daripada jam 10.30 malam sehingga 7 pagi di tempat awam. Semua premis tidak dibenarkan untuk menjual minuman alkohol melainkan di restoran, kafe, bar ataupun di rumah sendiri. Kerajaan harus mempertimbangkan kaedah ini untuk dipraktikkan di sini.

Datuk Dr. Lau Hoe Chai menegaskan, untuk menyelesaikan masalah pemandu mabuk, undang-undang jenayah perlu diperketatkan untuk membendung permasalahan ini.

Beliau berpendapat, sebagai pengajaran, selain mempertingkatkan larangan memandu dalam keadaan mabuk. Mempraktikkan hukuman penjara sekurang-kurangnya 7 hari kepada pemandu mabuk kali pertama (yang kurang berbahaya) sebagai iktibar kepada pesalah untuk mengekang peningkatan kes pemandu mabuk.