Siaran Akhbar

Kekalkan kompaun sehingga pandemik terputus

Jun 10, 2020

Kuala Lumpur, 10 Jun – Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai menyarankan kepada kerajaan agar mempertimbangkan saranan untuk mengekalkan perlaksanaan kompaun sehingga rantaian pandemik putus. Ianya bertujuan untuk memudahkan kerajaan memantau kepatuhan rakyat terhadap garis panduan yang telah ditetapkan sepanjang tempoh PKPP yang dilaksanakan bermula hari ini.

Biarpun rakyat dibenarkan untuk merentas negeri dan dibenarkan melakukan aktiviti sosial dan keagamaan secara norma baharu, rakyat disyorkan untuk tetap mengamalkan penjarakan sosial dan langkah pencegahan yang kerap untuk mengelakkan berlakunya pertambahan kluster sepanjang PKPP ini. Oleh itu, untuk memastikan tahap kepatuhan rakyat sentiasa berada di paras yang terkawal. Notis mahupun kompaun yang diperuntukkan perlu dikekalkan dan dipertingkatkan.

Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai mengingatkan orang ramai bahawa PKPP bukan bererti rakyat sudah bebas melakukan semua aktiviti tanpa batasan, sebaliknya masih ada undang-undang yang perlu dipatuhi untuk kesejahteraan bersama.

Oleh yang demikian, Gerakan berharap tindakan mengekalkan perlaksanaan kompaun ini dapat dilaksanakan secara terus-menerus sehingga Malaysia bebas pandemik ini.

Parti Gerakan percaya kompaun yang diperuntukkan ini dapat menjamin kepatuhan yang berkesan dalam kalangan rakyat. Kerajaan tidak akan rugi kerana keberkesanannya adalah untuk kepentingan semua rakyat dalam negara.