Siaran Akhbar

Kenaikkan OPR membebankan rakyat terutamanya B40 & M40

Dis 30, 2022

Kerajaan perlu meneliti semula sebarang keputusan mengenai dasar monetari negara oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada masa hadapan termasuk kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Naib Presiden Gerakan Rakyat Malaysia, Dato Baljit Singh berkata, sekiranya OPR terus dinaikkan pada tahun hadapan, ia bermakna kenaikkan lima kali berturut-turut sejak Mei lalu dan kadar tertinggi sekarang adalah 2.75.

“Kenaikan OPR berterusan sememangnya memberi tekanan kepada kebanyakkan rakyat terutamanya golongan rakyat B40 dan M40.

“Walhal kenaikkan pendapatan rakyat Malaysia tidak begitu ketara berbanding peningkatan kos sara hidup dengan harga ayam, telur dan lain lain tidak dapat dikawal lagi. Rakyat bagaikan Sudah Jatuh Ditimpa Tangga.” tegasnya dalam satu kenyataan disini hari ini.

Tambah beliau, andaian kerajaan bahawa peningkatan OPR boleh mengurangkan kenaikan kadar inflasi tidak boleh diterima secara konklusif.

“Ini kerana semasa kadar faedah di bawah dua peratus, nilai ringgit ialah sekitar 3.00 ke 3.20.

“Pada 2010, apabila kadar faedah turun ke bawah 2 peratus, nilai ringgit semakin kuat 3.10 ke 3.40. Fakta di atas sepatutnya menafikan kaitan OPR kepada nilai ringgit,” ujarnya

Tambah Baljit, sebaliknya kerajaan perlu melihat secara lebih luas di luar kotak bagaimana menghadapi masalah inflasi ini tanpa menyalurkan kesannya kepada rakyat secara langsung.

Menurut Baljit, situasi ekonomi semasa negara yang tidak begitu baik berikutan kenaikan harga barangan asas turut memberi kesan berganda kepada kesejahteraan hidup rakyat.

“Ketika ini GERAKAN tidak melihat apa-apa jaminan daripada kerajaan untuk menstabilkan harga barangan yang naik ketika ini.

“Harus diakui bahawa golongan berpendapatan rendah menggunakan sebahagian besar pendapatan mereka untuk membayar pinjaman perumahan. Sekiranya kos pinjaman terus meningkat, mereka inilah yang akan terkesan,” luah beliau.

Dato Baljit Singh
Naib Presiden
Parti Gerakan Rakyat Malaysia