Siaran Akhbar

Kerajaan Campuran ‘Cakap Tak Serupa Bikin’

Mac 16, 2023

Parti Gerakan Rakyat Malaysia menggelar Kerajaan PH-BN sebagai satu gabungan yang “cakap tidak serupa bikin” kerana melantik beberapa pemimpin parti politik dalam syarikat (GLC).

Naib Presiden GERAKAN, Koo Shiaw Lee mengkritik Kerajaan PH-BN kerana keputusan melantik pemimpin politik dalam syarikat GLC adalah bercanggah dengan pendirian mereka.

“Sebelum ini, Kerajaan telah menamat pelantikan politik serta merta, kononnya nak mengelakkan berlakunya rasuah dan salah guna kuasa dalam syarikat GLC”

“Tetapi mereka mengulangi kesilapan yang sama dengan melantik ahli-ahli parlimen UMNO dan PKR dalam syarikat GLC” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, pelantikan Ahli Parlimen Balik Pulau PKR, Bakhtiar Wan Chik sebagai pengerusi MyCreative Ventures Sdn Bhd dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi MARA, agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Bukan itu sahaja, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengumumkan bekas Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, dilantik semula sebagai Pengerusi FELCRA.

Koo Shiaw Lee yang juga Ketua Penerangan GERAKAN tidak setuju dengan keputusan pelantikan tersebut dan menjelaskan perkara sebegini tidak sepatutnya terjadi lagi.

“Masa dan perhatian mereka akan dibahagikan antara melaksanakan tugas parlimen dan korporat mereka. Ahli Parlimen dan ADUN sepatutnya dilarang daripada memegang jawatan dalam GLC”

“GLC adalah penjaga kekayaan dan sumber awam dan kita perlu melantik orang yang paling layak untuk menambah nilai kepada entiti korporat ini daripada menghabiskan dananya melalui gaji dan faedah yang lumayan” jelasnya dalam kenyataan ini.

KOO SHIAW LEE
NAIB PRESIDEN PARTI GERAKAN RAKYAT MALAYSIA