Siaran Akhbar

Kerajaan Madanon sanggup gadai nyawa rakyat demi duit

Ogo 17, 2024

Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia, YB Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai “memuji” Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming atas mempunyai muka yang cukup tebal.

Walaupun telah berkali-kali dikritik sebelum ini, beliau tetap tidak menunjukkan sebarang tanda malu atau rasa bersalah. Malah masih mencari alasan untuk menghalalkan dasar dan keputusan yang pernah ditolak beliau sebelum ini.

Sebelum ini, Nga Kor Ming tegas menyatakan bahawa operasi Lynas akan berhenti di Malaysia. Tetapi sebaliknya, kerajaan “Madanonlah” yang menghalalkan perlombongan nadir bumi.

Dominic Lau mencabar pemimpin DAP, jika mereka masih berpegang teguh bahawa nadir bumi boleh memudaratkan kesihatan rakyat, mereka harus keluar dari kerajaan perpaduan dan berjuang bersama rakyat. Namun, berdasarkan pengalamannya dengan pemimpin DAP, beliau percaya mereka hanya pandai bercakap sahaja, kerana takut kehilangan jawatan.

Beliau menegaskan bahawa dalam isu menentang nadir bumi ini, jika rakyat ingin menyalahkan atau mengkritik kerajaan, mereka tidak perlu berfikir panjang. Mereka hanya perlu mencari di internet untuk menemukan banyak kenyataan dari pemimpin DAP.

Beliau menambah, Nga Kor Ming sebelum ini menentang Lynas dengan menyatakan bahawa projek kilang nadir bumi terbesar di dunia ini hanya menawarkan 250 peluang pekerjaan, tetapi risiko terhadap kesihatan 700,000 rakyat Kuantan adalah tidak berbaloi.

Kini, apabila kerajaan bercadang untuk melombong nadir bumi di dalam negara, adakah kerajaan perpaduan sudah kehabisan duit sehingga sanggup menggadai kesihatan rakyat?

Beliau berkata, sebelum Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan persekutuan, mereka sering menyatakan bahawa Lynas adalah ancaman yang membawa bahaya besar. Kini, inilah peluang terbaik bagi Pakatan Harapan untuk menunaikan janji mereka.

YB Senator
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai
Presiden Nasional GERAKAN