Siaran Akhbar

Kerajaan perlu rangka pelan pembangunan industri untuk wujudkan peluang pekerjaan

Jun 4, 2020

Kuala Lumpur, 4 Jun – Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai menyarankan kepada kerajaan agar mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk membantu rakyat yang dibuang dan diberhentikan bekerja sejak perlaksanaan PKP pada bulan Mac lalu.

Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai sangat berdukacita dengan kadar pengangguran terkini dan berharap kerajaan dapat memikirkan solusi yang lebih interaktif seperti yang dilakukan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa terhadap 360 orang warga gelandangan di ibu kota bulan lalu. Golongan gelandangan ini diberikan kursus dan latihan untuk memenuhi peluang pekerjaan di beberapa sektor di DBKL dan pengurusan dan penyelenggaraan serta sebagainya.

“Kerajaan harus merangka lebih banyak pelan pembangunan yang strategik untuk membantu mereka yang hilang pekerjaan supaya kadar penggangguran tidak meningkat secara mendadak dan menyebabkan ekonomi alami defisit yang lebih teruk di masa akan datang.”

Beliau berkata demikian dalam kenyataanya hari ini.

“Biarpun jumlah pengangguran dalam negara disifatkan masih dalam keadaan terkawal sehingga Mac lalu, ianya perlu dibendung segera untuk mengelakkan ketidakseimbangan tenaga buruh.”

“Kerajaan perlu kreatif dalam pelan pembangunan pekerjaan dalam semua industri, majikan juga perlu bekerjasama untuk merangsang semula perkembangan ekonomi.”

Gerakan percaya masalah pengangguran ini dapat dibendung dengan baik jika kerajaan bijak mengatur strategi pembangunan.