Siaran Akhbar

Kerajaan PHBN kejam kerana berdiam diri mengenai isu petani dikasari

Okt 24, 2023

Hari ini terdapat berita besar tetapi mungkin dilihat sebagai liputan kecil oleh Kerajaan Campuran berkaitan petani-petani diusir dan salah seorang aktivis dikasari hingga mengalami kecederaan oleh pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak dalam kejadian di kawasan pertanian Kanthan, Tambun.

Aktivis dan petani di pertanian Kanthan kini sedang berjuang untuk mengekalkan tanah dan tanaman yang mereka usahakan ekoran arahan pengusiran oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

Sehubungan dengan itu, GERAKAN menggesa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim campur tangan dan membuat permohonan maaf terhadap penindasan kepada petani-petani ini kerana Kanthan di bawah kawasan Parlimen Tambun.

“Mana Anwar? Beliau Ahli Parlimen (MP) kawasan ini, sepatutnya turun padang menyelesaikan isu ini supaya ada situasi menang-menang di antara petani dan pihak PKNP”

Sepatutnya Anwar Ibrahim selaku MP di kawasan terbabit menjaga kebajikan rakyat terutamanya kaum tani tetapi sebaliknya menyusahkan dan menyakitkan hati dan fizikal rakyat.

Perkara ini bukan baru terjadi, sebelum ini petani-petani di Kanthan telah menerima notis pengusiran di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara yang bertarikh 13 Oktober 2023 untuk mengarahkan mereka supaya mengosongkan tanah kebun yang sedang diusahakan.

Di Malaysia kebangkitan masyarakat tani kurang diiktiraf dan tidak mendapat perhatian besar meskipun kewujudan mereka sangat penting kerana mereka menyediakan stok atau bekalan makanan.

“Bibit yang terlihat di Kanthan itu mungkin satu petunjuk bahawa mereka sedang kelemasan, dan memerlukan perhatian yang serius”

Sehubungan dengan itu, GERAKAN menyeru Kerajaan mendengar keluhan petani-petani untuk meminta pihak PKNP menawarkan kawasan alternatif selepas mengusahakan kawasan pertanian tersebut sejak sekian lama.

Dalam pada itu, Anwar Ibrahim dinasihatkan supaya tidak menjadi Ahli Parlimen Tambun secara ‘Part Time’ kerana segala masalah yang timbul harus dipertanggungjawab bukan hanya hadir ketika kempen pilihan raya sahaja.