Siaran Akhbar

MP Harus Bijak Menguruskan Peruntukkan RM300 Ribu Supaya Lebih Ramai Rakyat Dapat Manfaat

Jul 5, 2021

Selepas peruntukkan RM300 ribu bantuan bakul makanan yang diumumkan kerajaan baru-baru ini, GERAKAN melihat ada segelintir ahli Parlimen (MP) tidak menggunakan peruntukan itu untuk membantu rakyat.

Menurut Naib Presiden merangkap Ketua Penerangan GERAKAN, Koo Shiaw Lee, terdapat beberapa kawasan terutamanya pembangkang DAP dilihat masih lagi tidak membuat pengagihan tersebut.

“Saya menyeru semua MP menggunakan peruntukkan ini dan saya percaya sekiranya jumlah RM300 ribu yang digunakan secara bijak ia dapat membantu lebih ramai rakyat.

“Walaupun GERAKAN tidak ada seorang pun MP, namun kami bertungkus lumus melalui Program Kasih Kenyang membantu rakyat di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, menurut Koo Shiaw Lee, peruntukkan dana yang diberikan oleh kerajaan memang sangat praktikal dan banyak membantu rakyat dan MP.

Sememangnya, rakyat sedang berdepan tempoh mencabar dan kerajaan juga mengenepikan perbezaan apabila MP pembangkang juga diberikan peruntukan yang sama kali ini, ia sekurang-kurangnya dapat juga meringankan beban.

Dalam pada itu, tidak dinafikan ketika musim rakyat susah ini masih terdapat segelintir ahli politik yang lebih gemar bermain politik, tidak habis merancang strategi dan mencari sokongan untuk menjatuhkan kerajaan.

Perbuatan seperti ini adalah tidak wajar kerana ia boleh mengganggu pengurusan kerajaan dalam mengekang penularan COVID-19 dan sekaligus ia menyumbang kepada ketidakstabilan politik.