Siaran Akhbar

Ngeh Diingatkan Jangan Buat Tuduhan Fitnah & Tidak Berasas – GERAKAN

Jan 11, 2024

GERAKAN mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Ngeh Koo Ham seakan-akan menuduh PAS dan Bersatu membawa kepada kejadian kebakaran di rumah beliau awal pagi semalam.

Ketua Biro Perkhidmatan Awam & Unit Khas Aduan Nasional, Woo Cheong Yuen berkata, GERAKAN sama sekali tidak menyokong mana-mana perbuatan khianat kerana ia berlawan dengan prinsip asas kehidupan masyarakat yang aman dan harmoni.

Namun, Ngeh tidak boleh membuat tuduhan melulu kerana perkara ini masih dalam siasatan pihak berkuasa.

“Saya mengingatkan pemimpin DAP ini, jangan membuat tuduhan tidak berasas kepada PAS dan Bersatu demi meraih sentimen politik.

“Ngeh dilihat cuba menggambarkan imej buruk terhadap Perikatan Nasional (PN). Sebagai rakan komponen, GERAKAN terpanggil untuk menjawab segala tomahan yang biasa digunakan oleh DAP untuk memburukkan pihak lawan” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, apa sekalipun justifikasi, cetuskan kebakaran ke atas kediaman dan kenderaan milik Ahli Parlimen itu tidak boleh diterima dan perlu dikutuk sekeras-kerasnya.

“GERAKAN memandang serius mengenai isu ini dan mengutuk perbuatan tersebut kerana ia bercanggah dengan undang-undang di negara kita” tegasnya.

Woo Cheong Yuen
Ketua Biro Perkhidmatan Awam &
Unit Khas Aduan Nasional
Parti Gerakan Rakyat Malaysia