Siaran Akhbar

Pelancaran kertas cadangan untuk pengoperasin semula industri dalam negara

Apr 16, 2020

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai hari ini mengesyorkan beberapa cadangan Garis Panduan pengoperasian semula industri tempatan dalam menghadapi kesan penularan wabak pandemik Covid-19. Kertas cadangan juga akan dihantar secara atas talian kepada YB Datuk Seri Azmin Ali, Menteri Pendagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia untuk membantu kerajaan merealisasikannya.

Beliau berharap cadangan konstruktif yang dibangkit dalam kertas cadangan ini dapat diterima baik daripada pihak MITI dan dimasukkan ke dalam garis panduan kerajaan sebagai SOP yang harus diikuti oleh syarikat-syarikat yang dibenarkan pengoperasian semula.

Parti Gerakan Rakyat Malaysia percaya bahawa pencegahan wabak Covid-19 adalah tanggungjawab setiap rakyat Malaysia, tidak kira parti mahupun kerajaan atau pembangkang yang memerintah. Sebagai parti kuasa ketiga, kami sentiasa berpendirian untuk berusaha menyelesaikan masalah untuk rakyat dan bersatu di bawah payung negara.

Oleh itu, beberapa cadangan garis panduan telah dikemukakan dan dibahagikan kepada dua bahagian iaitu:

1. Syarat Asas Pengoperasian Semula Pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan
2. Langkah-langkah Pencegahan, Kawalan dan Pelan Kecemasan Covid-19.

Syarat asas untuk pengoperasian semula dipecahkan mengikut kawasan zon. Pengoperasian semula syarikat perlu mematuhi langkah-langkah pencegahan dan perlindungan pandemik. Contohnya seperti membenarkan pengoperasian semula di kawasan Zon Jingga dan Zon Kuning jika tiada kes baru jangkitan Covid-19 selama 7 hari. Manakala, pergerakan hanya dibenarkan di Zon Jingga dan Kuning dan tidak boleh merentasi kawasan Zon Merah dan Zon Hijau.

Selain itu, pekerja yang dalam pemantauan dan mempunyai kontak rapat dengan pesakit positif Covid-19 hanya dibenarkan bekerja semula jika tidak mempunyai simptom jangkitan selepas menjalani kuarantin berpusat atau di rumah selama 14 hari.

Parti Gerakan Rakyat Malaysia juga mencadangkan syarikat mewujudkan sistem merekod dalam pengoperasian semula bagi semua kakitangan dan pelawat yang merangkumi pemantauan kesihatan, sejarah perjalanan, masa daftar masuk dan daftar keluar bangunan, pelan pembekalan, pengedaran dan penggunaan sumber seperti topeng muka dan bahan sanitasi, pensanitasian, jadual perangkaan dan informasi tinjauan lain yang berkaitan untuk pemeriksaan dan pencegahan wabak.

Juga menyeru syarikat-syarikat tempatan mempraktikkan langkah pencegahan dan rawatan yang sewajarnya seperti berikut untuk mengurangkan risiko penyebaran wabak. Contohnya seperti menghentikan semua acara pameran, jualan, temuduga dan aktiviti-aktiviti lain yang menggalakkan pengumpulan orang ramai. Menyahaktifkan pendingin hawa dan ventilasi secara berpusat juga dinasihatkan serta menghentikan penggunaan lif bagi pekerja yang bekerja di tingkat 5 dan ke bawah.

Syarikat juga wajar menubuhkan satu pasukan tindakan pencegahan dan kawalan epidemik. Pasukan ini bertanggungjawab untuk kebersihan syarikat, disinfeksi persekitaran dalaman dan ruang awam, penyediaan makanan dan penyediaan pelan dan aliran proses rawatan kecemasan.

Gerakan juga mencadangkan syarikat boleh beroperasi semula dengan memanfaatkan inisiatif seperti mengurangkan unit pekerja, mengoptimumkan aliran kerja, menggalakan kerja jarak jauh serta mengurangkan pengumpulan pekerja di sesebuah tempat dalam ruang tempat kerja. Selain itu, jadual kerja berperingkat dan amalan perlindungan peribadi perlu dikuatkuasakan untuk mencegah pandemik ini.

Diharap cadangan ini boleh diadaptasikan untuk merangsang semula perkembangan ekonomi negara. Manakala sesiapa yang berminat untuk ketahui maklumat lanjut boleh memuat turun maklumat laman web rasmi Gerakan (www.gerakan.org.my).