Siaran Akhbar

Pematuhan operasi TikTok terhadap undang-undang Malaysia

Jul 1, 2024

KENYATAAN MEDIA
1 JULY 2024

Pematuhan operasi TikTok terhadap undang-undang Malaysia masih tidak memuaskan dan perlu diperbetulkan segera ekoran daripada isu video bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkaitan BlackRock dan MAHB dipadam tanpa alasan kukuh.

Oleh kerana Jurucakap Kerajaan Madani Fahmi Fadzil sudah membuat kenyataan bahawa Kementerian Komunikasi tidak campur tangan berhubung isu terbabit.

Saya menyarankan Kerajaan Malaysia dan ahli parlimen melalui Jawatankuasa Khas Parlimen, memanggil dan menyiasat pengendali aplikasi TikTok memberi penjelasan yang terperinci adakah kandungan video KJ itu membahayakan atau melanggar garis panduan komuniti yang ditetapkan?.

Sekiranya alasan diberikan bercanggah atau tidak kukuh, secara tidak langsung TikTok telah melanggar hak asasi ‘kebebasan bersuara’ yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, fasal ini menyatakan bahawa kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuh persatuan merupakan kebebasan asasi yang diberikan kepada setiap warganegara Malaysia.

Saya menggesa Kerajaan Madani untuk segera menyiasat pengendali aplikasi TikTok dan mendapatkan pencerahan yang diperlukan, serta tindakan ini perlu dianggap sebagai langkah di mana tiada pihak dalam Persekutuan ini yang boleh membelakangkan kebebasan yang diperuntukkan kepada rakyatnya melalui Perlembagaan. TikTok perlu bertanggungjawab dan menjelaskan sebab-sebab di sebalik tindakan mereka, serta memastikan bahawa hak kebebasan bersuara rakyat Malaysia dihormati dan dipelihara.

Kita perlu memastikan bahawa platform media sosial tidak sewenang-wenangnya menyekat kebebasan bersuara, yang merupakan salah satu asas penting dalam demokrasi. Rakyat berhak tahu siapa dalang di sebalik tindakan memadam video tersebut. Tindakan sebegini tidak boleh diterima dan mesti ditentang oleh semua pihak termasuk Kerajaan.

Chai Ko Thing
Ketua Biro Hak Asasi Manusia
GERAKAN