Siaran Akhbar

Perbezaan pendapat perkara biasa dalam keluarga

Jul 30, 2024

Perbezaan pendapat lumrah hidup, tak kisah dalam pasukan mana, negara, syarikat mahupun keluarga, kuncinya macam mana kita boleh menguruskan perbezaan antara kita untuk terus menuju ke hadapan.

Yang ajaibnya, perbezaan itu yang mengikat kita bersama, bukan persamaan. Sepasang suami isteri selalunya personaliti mereka bertentangan, tetapi mereka menjadi teman sejati sehingga hayatnya menemui pencipta. Perbezaan yang wujud di antara kita memberi fleksibiliti dan kekuatan kepada kita. Satu pasukan yang selalu bergaduh akan jalan lebih jauh daripada satu pasukan yang setuju 100% kerana elakkan konfrontasi.

Yang pentingnya mesti kena ada seorang yang selalu mengingatkan tentang perpaduan dalam pasukan itu, selalu membawa pandangan ekstrem ke tengah. Prinsipnya satu, ‘we agree to disagree’, dalam bahasa kita, kita bersetuju untuk tidak bersetuju. Ingat, adik- beradik bergaduh itu lumrah!

Sebagai satu gabungan politik yang agak muda, Perikatan Nasional masih mempunyai ruang untuk memenangi kepercayaan lebih ramai pengundi, atas kekuatan yang tersendiri. Sejak penubuhannya, tidak pernah lagi kami duduk untuk berbincang macam mana nak selaraskan perbezaan antara kita. Jadi pada hemat saya, tibalah masanya kita memperkasakan keutuhan perikatan ini.

Perikatan Nasional sudah capai tahap maksima dalam menguasai kepercayaan pengundi Melayu, keadaan ini hanya akan terus konsisten ataupun menurun pada masa depan. Yakni ia masih tidak mencukupi untuk bertakhta di Putrajaya.

Perikatan Nasional belum lagi dapat mewakili kesemua masyarakat, sekarang adalah masanya dan yang terbaik untuk melakar strategi ke arah PRU16. Saya lihat ada segelintir ahli-ahli parlimen kita dah haus dalam naratifnya. Itu sahajalah ‘pi mai pi mai tang tu’ isu nak dibawa. Sementara kita memainkan peranan semak dan imbang, saya lihat kita sudah sampai ‘bottleneck’, waktu ini tepat pada masanya kita duduk dan berbincang.

Saya akan membawa perkara ini untuk dibincang bersama kepimpinan Perikatan Nasional, satu forum dalaman antara akar umbi parti komponen Perikatan Nasional perlu diadakan pada masa terdekat. Budaya saling menghormati itu budaya kita. Kita mesti amalkannya dalam merealisasikan politik matang di negara kita.

YB SENATOR DR DOMINIC LAU HOE CHAI
PRESIDEN
PARTI GERAKAN RAKYAT MALAYSIA