Siaran Akhbar

Perhalusi yuran PIBG agar tidak membebankan para ibu bapa

Apr 5, 2023

Presiden Nasional GERAKAN YB Senator Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai mengecam Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek hanya menjawab di atas kertas dan bercakap sahaja tanpa mengambil kira situasi sebenar mengenai isu yuran yang dikenakan oleh Persatuan Ibu Bapa & Guru (PIBG).

Dalam sesi soal jawab di Parlimen, Kementerian Pendidikan mendakwa telah membuat pemantauan dan memastikan sekolah mengikut prosedur yang ditetapkan agar yuran yang dikenakan oleh PIBG tidak membebankan para ibu bapa.

“Walaupun yuran PIBG tidak wajib dan tidak dikategorikan sebagai yuran sekolah tetapi sistem yuran PIBG ini dibuat seperti separuh wajib bayar oleh pihak sekolah.

“Malah ia dilihat menjadi satu kesalahan kepada ibu bapa yang tidak membayarnya dan tekanan dirasai oleh pelajar-pelajar berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam sesi soal jawab di Dewan Negara baru-baru ini, Dominic yang juga ahli Dewan Negara memberitahu Menteri Pendidikan memberi alasan bahawa ibu bapa perlu menghadiri mesyuarat PIBG supaya mendapat maklumat jelas berkaitan maklumat PIBG.

Tambah Dominic, jawapan Menteri Pendidikan seperti salahkan para ibu bapa tidak hadir ke mesyuarat PIBG.

Pada hemat beliau, bukan ibu bapa tidak mahu hadir tetapi disebabkan kekangan masa dan tumpuan kerja untuk menyara keluarga terutamanya keluarga daripada golongan B40.

“Saya menggesa Menteri Pendidikan menghantar pegawai ke sekolah-sekolah untuk menyiasat dan memahami situasi sebenar perkara ini. Jika perlu hentikan yuran ini tolong laksanakan.

“Menteri Pendidikan juga harus turun padang berkomunikasi sendiri dengan para pendidik sama ada perkara ini sesuai diteruskan atau tidak supaya ibu bapa tidak berada di bawah tekanan disebabkan yuran PIBG,” jelasnya.

Cadangan lain, beliau juga menggesa Kementerian Pendidikan menggubal semula dasar yuran PIBG yang berpatutan dengan keperluan guru dan ibu bapa sekiranya tidak dapat dimansuhkan. Perkara ini penting untuk menghormati kehendak para ibu bapa sekaligus memastikan masa depan kualiti pendidikan.

YB SENATOR DATUK DR. DOMINIC LAU HOE CHAI
PRESIDEN NASIONAL PARTI GERAKAN