Siaran Akhbar

Persidangan Perwakilan Nasional GERAKAN berlangsung 13 Mac

Feb 28, 2021


Persidangan Perwakilan Nasional Parti GERAKAN 2020 akan berlangsung pada 13 Mac secara maya, kata Mak Kah Keong, Setiausaha Agung Parti GERAKAN hari ini.

Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pusat yang berlangsung semalam (27hb) untuk memastikan segala Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dipatuhi.

“GERAKAN telah mengumumkan penangguhan persidangan itu yang sepatutnya berlangsung pada 22 Nov tahun lepas kerana keadaan wabak COVID-19 ketika itu semakin parah dan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) juga memberi pelanjutan kepada GERAKAN sehingga Jun tahun ini.”

Beliau juga berkata, Persidangan Perwakilan Nasional 2020 telah mendapat kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan ia adalah Persidangan Perwakilan Nasional pertama yang akan berlangsung secara maya oleh Parti GERAKAN. Ia juga usaha yang dilakukan oleh GERAKAN untuk memerangi wabak COVID-19.

Persidangan Perwakilan Nasional 2020 juga merupakan persidangan pertama setelah Parti GERAKAN menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN). Persidangan ini akan dirasmikan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, selaku Perdana Menteri Malaysia. Pemimpin kanan parti komponen PN juga akan dijemput hadir.