Siaran Akhbar

Pertimbang peperiksaan secara atas talian

Apr 21, 2020

Pengumuman penangguhan peperiksaan SPM, STPM dan STAM minggu lalu merupakan satu keputusan yang sejajar dengan perkembangan semasa dunia. Namun begitu, kerajaan harus mempertimbangkan semula keputusan tersebut kerana ianya akan memberi impak yang besar dalam institusi pendidikan dalam negara.

Memandangkan persaingan pendidikan yang begitu abstrak dalam institusi pendidikan, penangguhan ini akan menyebabkan berlakunya pertambahan jumlah kapasiti pelajar yang maksimum pada suku tahun pertama sesi tahun 2021. Oleh itu, penangguhan ini harus dipertimbangkan semula kerana tidak semua sekolah dan institusi pengajian swasta boleh menempatkan mereka secara serentak pada satu masa yang sama.

Parti Gerakan Rakyat Malaysia mengesyorkan kepada kerajaan agar mempertimbangkan peperiksaan secara atas talian untuk peperiksaan SPM, STPM dan STAM. Kaedah ini bukan sahaja dapat menaik taraf sistem pendidikan, malah membentuk ‘new normal’ baru kepada pelajar, ibu bapa dan guru dalam menghadapi peperiksaan.

Namun begitu, Kementerian Pendidikan juga perlu menyediakan inisiatif lain untuk pelajar-pelajar yang tinggal di kawasan pedalaman agar boleh menduduki peperiksaan. Contohnya seperti peperiksaan atas talian secara berperingkat mengikut zon. Manakala guru-guru boleh memantau secara terus dari semasa ke semasa.

Biarpun ianya tidak kompetitif seperti dalam bilik peperiksaan, alternatif ini berkesan untuk membendung masalah pertindihan pelajar, masa dan sebagainya. Oleh yang demikian, Parti Gerakan Rakyat Malaysia berharap penangguhan itu dapat dipertimbangkan semula.