Siaran Akhbar

PRN : GERAKAN hasrat bertanding ke semua negeri

Mac 25, 2023

Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) menjelaskan rundingan pemilihan kerusi pada pilihan raya negeri akan datang telah dibuat bersama rakan-rakan Perikatan Nasional.

Presiden Nasional GERAKAN, YB Senator Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, GERAKAN berhasrat untuk bertanding di semua negeri yang dipertandingkan dalam pilihan raya negeri akan datang.

“Kita telah menghantar kurang daripada 70 nama kepada Majlis Tertinggi Perikatan Nasional untuk dipertimbangkan,” katanya pada sidang media Persidangan Perwakilan Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia Yang Ke-51.

Mengulas mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke baru-baru ini berhubung GERAKAN patut dibubarkan kerana tidak dapat mandat rakyat.

Menurut Dominic Lau, walaupun tidak mendapat mandat daripada rakyat tetapi GERAKAN akan terus kekal relevan.

Dominic Lau berkata, Anthony Loke tidak faham kenapa GERAKAN terus kekal relevan walaupun sudah kalah dalam beberapa pilihan raya.

“Kerana GERAKAN bukan seperti DAP. Mendapat mandat daripada menipu rakyat dengan janji-janji kosong.

“Sebelum pilihan raya mereka cakap ingin iktiraf UEC, AUKU, pilihan raya kerajaan tempatan. Mana janji-jani semua itu? Penipuan ini dibuat untuk mendapat mandat rakyat tetapi mereka hanya diam selepas mendapat mandat,” jelasnya.

Tambah Dominic, GERAKAN akan terus kekal relevan kerana mempunyai prinsip dan akan menunaikan janji-janji sekiranya diberi mandat pada pilihan raya akan datang.

YB SENATOR DATUK DR. DOMINIC LAU HOE CHAI
PRESIDEN NASIONAL PARTI GERAKAN RAKYAT MALAYSIA