Slide Join Us Contribute Join Us Contribute

Siaran Akhbar

Saran kerajaan pertimbang operasi taska

Apr 30, 2020

Memandangkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah membenarkan pengoperasian semula industri dalam negara secara terkawal, Parti Gerakan Rakyat Malaysia menyarankan kepada kerajaan agar mempertimbangkan semula kebenaran pengoperasian semula taska.

Penutupan taska sememangnya menyukarkan golongan ibu bapa yang bekerja. Oleh itu, pengoperasian semula taska perlu dilaksanakan secara terkawal untuk mengelakkan mereka terdedah dengan pandemik ini.

Biarpun pengoperasian semula taska terdapat risikonya kepada bayi dan kanak-kanak, namun ia tetap boleh dilaksanakan secara berperingkat dan praktikal dengan kaedah yang berkesan di semua premis taska.

Gerakan mengesyorkan supaya pengoperasian semula dibenarkan secara berperingkat mengikut zon. Hanya zon yang telah pulih dan bebas pandemik sahaja dibenarkan beroperasi sepenuhnya.

Manakala zon-zon lain dibenarkan beroperasi dalam mod yang minimum. Contohnya dengan menghadkan masa, sesi kelas dan jumlah penjagaan kanak-kanak dalam taska. Kaedah ini dapat mengelakkan aktiviti berkumpulan secara tidak sengaja.

Beberapa langkah kawalan juga perlu dilaksanakan untuk mengelakkan kanak-kanak terdedah dengan wabak. Contohnya ibu bapa yang berada di Zon Merah tidak boleh menghantar anak ke taska di Zon Hijau. Larangan ini perlu dikuatkuasakan untuk mengelakkan pertambahan kluster.

Kerajaan juga harus mengeluarkan satu garis panduan keselamatan untuk semua taska dalam negara untuk dipatuhi. Taklimat khas berkenaan SOP pengoperasian semula taska perlu dilaksanakan supaya mereka kerap mengamalkan langkah pencegahan yang selamat di premis mereka.

Parti Gerakan Rakyat Malaysia sangat berharap kerajaan akan mempertimbangkan saranan ini jika ingin membenarkan pengoperasian semula taska dilaksanakan dalam tempoh PKP.