Siaran Akhbar

Sisa klinikal perlu diasingkan

Apr 4, 2020

Sejak penularan wabak Covid-19, penggunaan topeng muka, sarung tangan dan antiseptik menjadi suatu kewajipan dalam kalangan rakyat. Malah, penggunaanya semakin meningkat kerana rakyat semakin giat menjaga kesihatan diri daripada dijangkiti wabak tersebut.

Namun begitu, penggunaannya yang bersifat sementara menyebabkan hasil pembuangannya menjadi semakin banyak terutamanya di pusat kesihatan seperti hospital dan klinik. Oleh yang demikian, pengasingan sisa klinikal tersebut perlu dilakukan sewajarnya untuk mengelakkan pencemaran dan jangkitan penyakit lain.

Parti Gerakan Rakyat Malaysia mengesyorkan supaya kerajaan mempertimbangkan pengasingan sisa klinikal di semua lokasi pusat pembuangan sampah seperti tempat pengasingan bahan kitar semula untuk mengelakkan lambakan bahan-bahan klinikal di tempat-tempat awam.

Selagi rangkaian Covid-19 masih belum dapat diputuskan, penggunaan alat kesihatan sedemikian akan terus meningkat. Oleh itu, pengasingan sisa klinikal ini wajar dilaksanakan dan diurus dengan baik demi keselamatan bersama.

Di samping itu, kerajaan perlu melaksanakan pengasingan sisa klinikal untuk mengurangkan kadar pencemaran alam sekitar dalam negara. Dengan cara ini, rakyat akan lebih berdisplin untuk lebih praktikal dalam urusan sisa bahan buangan sampah, terutamanya yang membabitkan sisa klinikal dan bahan kitar semula. Kaedah ini bukan sahaja berkesan untuk mencegah penyebaran Covid-19 dalam kalangan rakyat, malah dapat memelihara alam flora daripada terus dicemari pelbagai wabak lain.

Parti Gerakan Rakyat Malaysia berharap pesakit Covid-19 dalam negara segera sembuh dan bebas dari penyakit itu.