Siaran Akhbar

Solat Aidilfitri perlu ikut garis panduan “Norma Baharu”

Mei 14, 2020

Kuala Lumpur, 14 Mei – Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai menyeru kepada kerajaan agar mempertimbangkan untuk mengadakan solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri di semua negeri dengan bersyarat perlu mengikut garis panduan “Norma Baharu”.

Tindakan itu wajar dipertimbangkan sekiranya kes baru pandemik Covid-19 menurun secara statik sehingga 20 Mei ini. Ini kerana mengambil kira jumlah rakyat yang pulang ke kampung halaman ketika menjelang perayaan telah dihadkan mengikut arahan PKPB.

Oleh itu, garis panduan “Norma Baharu” perlu dipatuhi. Contohnya dengan pengamalan mengukur suhu, merekod maklumat diri, penjarakan sosial, penggunaan sanitizer dan topeng muka serta membawa sejadah sendiri dari rumah.

Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai percaya semua rakyat akan biasa dengan terma “norma baharu” ini kerana ia telah mula dipraktikkan sejak 4 Mei lalu selepas kerajaan mengumumkan pengoperasian semula semua industri dalam negara.

Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata demikian dalam kenyataanya hari ini.

“Solat Aidilfitri sebenarnya boleh dipertimbangkan untuk diadakan secara berperingkat ataupun dihadkan jumlah jemaahnya sama seperti yang diamalkan negeri Perak untuk membenarkan solat Jumaat dilakukan di masjid dan surau dengan jemaah tidak melebihi 12 orang termasuk imam dan khatib. Kaedah ini membolehkan semua rakyat tetap dapat merasakan suasana Hari Raya biarpun dalam keadaan norma baharu.”