Siaran Akhbar

Syor laksana kompaun kekal

Mei 27, 2020

Kuala Lumpur, 27 Mei – Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai tidak mahu lebih ramai rakyat ingkar dan dijangkiti wabak, oleh itu beliau mengesyorkan kepada kerajaan agar melaksanakan tindakan kompaun RM1000 secara kekal sehingga pandemik ini terputus. Saranan itu perlu dilaksanakan untuk memberi pengajaran kepada masyarakat.

“Sehingga semalam jumlah pesakit Covid-19 meningkat secara mendadak kepada 3 digit iaitu sebanyak 187 kes, manakala jumlah pesakit sembuh ialah 62 orang. Menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif adalah 7604. Peningkatan ini adalah satu perkembangan tidak normal.”

Oleh itu, Datuk Dr. Dominic lau Hoe Chai menyarankan supaya pihak kerajaan mempertimbangkan perlaksanaan kompaun diteruskan secara menyeluruh sehingga rantaian pandemik terputus secara keseluruhan dan tidak tertakluk pada perintah PKPB semata-mata.

Beliau berkata demikian dalam kenyataannya hari ini.

“Tindakan ini dilihat sejajar dengan perkembangan semasa. Terutamanya pada musim perayaan ini. Lebih ramai dilihat ingkar berhimpun biarpun dilarang oleh pihak berkuasa. Walaupun dikenakan kompaun tetapi masih jua berdegil.”

Oleh yang demikian, pihak kerajaan harus mempertimbangkan solusi lain untuk mengurangkan peningkatan kes himpunan. Selain mengenakan kompaun, ia perlu ditambah dengan hukuman penjara secara maksima 14 hari dan sebagainya. Langkah ini dilihat lebih interaktif untuk mengelakkan orang ramai ingkar perintah pihak berkuasa.

Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berharap penguatkuasaan ini dapat mengurangkan peningkatan kes pesalah ingkar PKPB dan penyebaran wabak pada masa yang sama.