Siaran Akhbar

Tangguh sambutan Hari Raya Aidilfitri

Apr 24, 2020

Memandangkan umat Islam sudah mula berpuasa pada hari ini dan tempoh PKP telah dilanjutkan selama dua minggu lagi sehingga 12 Mei 2020, Parti Gerakan Rakyat Malaysia mengesyorkan kepada kerajaan agar mempertimbangkan cuti sambutan Hari Raya Aidilfitri ditangguhkan kepada suatu tarikh lain.

Cadangan ini merupakan alternatif untuk mengelakkan lebih ramai rakyat pulang ke kampung dalam jumlah yang ramai pada satu masa. Ini juga dapat mengelakkan pertambahan kluster pandemik pada ketika ini. Beban orang ramai yang hilang punca pendapatan ketika perlaksanaan PKP ini juga dapat diringankan.

Selain itu, saranan ini dilihat lebih praktikal untuk mengurangkan tekanan petugas barisan hadapan yang sedang bertungkus-lumus sejak sebulan lalu untuk mengawal pergerakan orang awam. Ini juga membolehkan mereka meraikan cuti Hari Raya Aidilfitri bersama-sama keluarga dengan tenang selepas pandemik ini berakhir.

Penangguhan ini dilihat sejajar dengan perkembangan semasa dunia. Maka dengan itu, Parti Gerakan Rakyat Malaysia mengesyorkan musim cuti persekolahan bulan Disember ini dipilih untuk meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri. ‘New normal’ baru ini perlu diadaptasikan demi kepentingan semua pihak.

Gerakan percaya keputusan ini mampu mengatasi pelbagai masalah rakyat dalam negara yang tertekan kerana pandemik ini. Pindaan ini bukan sahaja membolehkan rakyat merancang perjalanan pulang ke kampung dengan baik, malah dapat berbelanja dengan berhemah pada perayaan kali ini.

Oleh yang demikian, besarlah harapan sekiranya pihak kerajaan dapat mencontohi Kerajaan Indonesia yang meminda tarikh cuti sambutan Hari Raya Aidilfitiri ke satu tarikh yang lain untuk kesejahteraan bersama.